Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahkamah Agung India izinkan kuil Hindu dibina di tapak Masjid Babri yang dirobohkan

Mahkamah Agung India hari ini (9 Nov) memutuskan bahawa tapak tanah yang pernah menempatkan Masjid Babri yang bersejarah di bandar Ayodhya, adalah hak milik kaum Hindu. Sebuah kuil Hindu kini akan dibina di tapak tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah Agung India izinkan kuil Hindu dibina di tapak Masjid Babri yang dirobohkan

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 09 Nov 2019 11:01PM Dikemas Kini : 09 Nov 2019 11:05PM

NEW DELHI: Mahkamah Agung India hari ini (9 Nov) memutuskan bahawa tapak tanah yang pernah menempatkan Masjid Babri yang bersejarah di bandar Ayodhya, adalah hak milik kaum Hindu. Sebuah kuil Hindu kini akan dibina di tapak tersebut.

Masjid Babri sebelum itu berdiri di tapak tersebut selama 460 tahun sebelum para perusuh kaum Hindu memusnahkannya pada tahun 1992. Setelah itu, tapak tersebut terus dipertikaikan antara penduduk Muslim dan Hindu.

Mahkamah Agung lima orang hakim itu mencapai keputusan muktamad itu secara sebulat suara.

Keputusan itu dianggap memberi kemenangan besar kepada parti nasionalis Hindu yang ditadbir Perdana Menteri India, Narendra Modi.

Menjelang keputusan itu dibuat, India mempertingkatkan tahap keselamatan di negara itu manakala PM Modi menggesa keadaan tenang, memandangkan keputusan tersebut boleh mencetuskan rusuhan.

Tapak tanah yang kontroversil itu kini mesti diberikan kepada sebuah pengamanah yang akan mengendalikan pembinaan sebuah kuil Hindu, dengan syarat-syarat tertentu.

Sebagai ganti, sebidang tanah lain di Ayodhya akan diberikan kepada masyarakat Muslim untuk dibina sebuah masjid baru, menurut Mahkamah tersebut.
Penghakiman bersejarah itu bertujuan menamatkan pertikaian selama berdekad-dekad lamanya.

Golongan tegar Hindu termasuk penyokong parti nasionalis Hindu, Parti Bharatiya Janata (BJP) percaya Dewa Rama dilahirkan di Ayodhya sekitar 7,000 tahun lalu.

Mereka juga mendakwa bahawa pada abad ke-16, maharaja pertama Kesultanan Mughal, iaitu Babur,
membina sebuah masjid di atas sebuah kuil di tapak seluas 2.8 hektar itu.

Pada tahun 1980-an, sedang semangat nasionalisme Hindu dan parti BJP semakin kukuh, tekanan meningkat supaya masjid itu dirobohkan dan digantikan dengan sebuah kuil Hindu.

Pada 1992, seramai 200,000 perusuh kaum Hindu memusnahkan masjid itu.

Pemusnahan masjid itu mencetuskan antara rusuhan agama terburuk di India sejak 1947, menyebabkan sekitar 2,000 mati - sebahagian besarnya anggota masyarakat Muslim.

Menurut laporan media, Mahkamah memutuskan bahawa bukti arkeologi menunjukkan terdapat struktur dibina sebelum masjid itu di tapak "yang berasal Hindu".

Keputusan itu diharapkan dapat menamatkan pertikaian yang cuba dirungkaikan oleh para penjajah British dan juga Dalai Lama.

Zafaryab Jilani, peguam yang mewakili pihak masyarakat Muslim bagaimanapun berkata keputusan itu "tidak adil" dan beliau sedang menimbangkan untuk memfailkan satu semakan.

Sementara itu, Varun Kumar Sinha, peguam yang mewakili kumpulan kaum Hindu berkata: "Ia adalah keputusan bersejarah. Dengan keputusan ini, Mahkamah Agung memberikan mesej perpaduan dalam kepelbagaian." 

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan