Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahathir: Video lucah dikaitkan dengan Azmin ada agenda politik

Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad menyifatkan penyebaran klip video berunsur lucah dikaitkan dengan seorang menteri Kabinet dilakukan oleh pihak yang mempunyai agenda politik, lapor Bernama.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahathir: Video lucah dikaitkan dengan Azmin ada agenda politik

Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 13 Jun 2019 09:52AM Dikemas Kini : 13 Jun 2019 09:56AM

SHAH ALAM: Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad menyifatkan penyebaran klip video berunsur lucah dikaitkan dengan seorang menteri Kabinet dilakukan oleh pihak yang mempunyai agenda politik, lapor Bernama.

Beliau berkata video berkenaan sukar dipercayai kebenarannya seperti didakwa memandangkan pada masa kini, banyak pihak yang bijak menyunting dan menghasilkan gambar dan video seumpamanya.

"Saya tidak fikir (video dan gambar) ini benar. Ia dibuat oleh seseorang dengan agenda politik. Kalau anda nak kalah, anda nampak orang lain nak menang, anda tunjuk gambar lucah. Kalau macam itu, setiap hari boleh tunjuk gambar lucah.

"Lepas ini boleh nampak gambar saya pula lah. Jangan lakukan kerja kotor ini. Pastikan politik lebih bersih," katanya kepada wartawan selepas Majlis Makan Malam Sejuta Kenangan anjuran ketua bahagian, ketua srikandi dan ketua armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Pusat Konvensyen Setia City di Shah Alam semalam (12 Jun).

Mengulas dengan lebih lanjut, Dr Mahathir turut mempersoal tujuan sebenar seorang lelaki yang mengaku dirinya terlibat dalam perilaku video berkenaan.

"Lelaki yang mengaku, ini disengajakan. Kalau tak, tak akan dia nak mengaku. Biasanya, orang itu (pelaku video lucah) malu nak mengaku, tapi ini tak malu. Apa tujuannya," katanya.

Menurut laporan Bernama, apabila ditanya sama ada beliau ada bertemu dengan menteri Kabinet tersebut mengenai isu video terbabit, Dr Mahathir mengatakan ada berjumpa dengannya seperti biasa semalam namun ia hanya berkaitan mesyuarat Kabinet.

Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali menafikan sekeras-kerasnya tuduhan seorang individu yang cuba mengaitkannya dalam satu video lucah, menurut Bernama.

Encik Mohamed Azmin yakin siri fitnah tersebut adalah komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadiannya serta menjatuhkan beliau dan memusnahkan kerjaya politiknya.

Sumber : Bernama/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan