Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahathir tubuhkan Tabung Harapan M'sia bagi kumpul derma rakyat

Kerajaan akan menubuhkan Tabung Harapan Malaysia untuk menerima derma rakyat bagi mengukuhkan kewangan kerajaan, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahathir tubuhkan Tabung Harapan M'sia bagi kumpul derma rakyat

Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad. (Gambar: AFP/Manan Vatsyayana)

Diterbitkan : 30 May 2018 05:00PM Dikemas Kini : 30 May 2018 05:02PM

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menubuhkan Tabung Harapan Malaysia untuk menerima derma rakyat bagi mengukuhkan kewangan kerajaan, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata penubuhan tabung itu adalah bagi memastikan derma rakyat Malaysia yang patriotik akan sampai kepada Kementerian Kewangan.

"Terdapat ramai rakyat Malaysia apabila tahu kedudukan kewangan negara yang buruk, mereka sanggup memberi derma kepada kerajaan.

"Kita mengalu-alukan sikap patriotik mereka dan mengucapkan terima kasih," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet di Perdana Putra hari ini (30 Mei).

Dr Mahathir berkata nombor akaun sumbangan itu akan diumumkan dalam waktu terdekat.

Pengumuman mengenai hutang negara yang berjumlah RM1 trilion (S$340 bilion) menarik perhatian rakyat Malaysia baru-baru ini dengan ramai antara mereka menyatakan kesediaan untuk menderma kepada kerajaan bagi mengurangkan hutang tersebut di media sosial.

PERKEMBANGAN LAIN - JAKIM BAKAL DIBUBARKAN?

Mengenai Program PERMATA, Dr Mahathir berkata ia akan dipindahkan dari Jabatan Perdana Menteri (JPM) ke Kementerian Pendidikan.

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini berkata PERMATA akan diteruskan memandangkan ia program yang baik dalam membantu meningkatkan pembangunan dan kebajikan kanak-kanak tetapi ia perlu dikaji dan diaudit terlebih dahulu. 

Ditanya mengenai desas-desus Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan dibubarkan, Dr Mahathir berkata kedudukan jabatan itu masih belum dibincangkan di peringkat kabinet.

Bagaimanapun katanya, satu kumpulan ulama dan individu berpengetahuan dalam agama Islam akan membincangkan peranan Jakim di negara ini.

"Sama ada Jakim akan dikekalkan seperti sekarang ataupun tujuan asalnya akan dihidupkan semula," kata beliau.

GAMBARAN ISLAM DI M'SIA

Perdana Menteri berkata kerajaan juga mahu memastikan Islam tidak digambarkan sebagai agama yang zalim, keras dan tidak bertimbang rasa.

"Itu bukan Islam dan banyak larangan yang ada dalam Islam tidak diamalkan oleh kita, sebaliknya kita fikir cara lain yang tidak datang dari agama Islam untuk menunjukkan Islam agama yang cukup keras dalam pelaksanaannya.

"Dengan perkataan lain, kita lebih suka memaksa sedangkan ajaran al-Quran kata tiada paksaan dalam Islam," katanya.

TELITI ADUAN SALAH LAKU DALAM PRU14

Mengulas gesaan Bersih 2.0 supaya Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Mohd Hashim Abdullah dan ahli SPR meletak jawatan, Perdana Menteri berkata kerajaan akan meneliti terlebih dahulu beberapa laporan yang diterima mengenai salah laku dalam pengurusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Selepas kajian itu selesai barulah kita fikirkan apa tindakan yang perlu diambil terhadap beliau (Pengerusi SPR)," kata Dr Mahathir. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan