Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahathir nafi nasib Najib seperti Anwar dulu

Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak kemungkinan tidak akan menyertai pilihan raya selanjutnya, kata Dr Mahathir Mohamad, yang menjangkakan Encik Najib akan didakwa atas tuduhan menggelapkan dana awam, rasuah dan "banyak lagi tuduhan lain".

Anggaran Waktu Membaca:
Mahathir nafi nasib Najib seperti Anwar dulu

Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad. (Gambar: Lua Jiamin)

Diterbitkan : 26 Jun 2018 10:59AM Dikemas Kini : 26 Jun 2018 11:02AM

PUTRAJAYA: Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak kemungkinan tidak akan menyertai pilihan raya selanjutnya, kata Dr Mahathir Mohamad, yang menjangkakan Encik Najib akan didakwa atas tuduhan menggelapkan dana awam, rasuah dan "banyak lagi tuduhan lain".

Dalam wawancara eksklusif bersama Mediacorp, perdana menteri Malaysia yang ketujuh itu berkata bahawa Encik Najib tinggal menunggu masa kerana kerajaannya memastikan siasatan terhadap syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Bhd (1MDB), dijalankan.

Ditanya jika Encik Najib akan ikut bertanding dalam pilihan raya selanjutnya, yang perlu diadakan lima tahun dari sekarang, Dr Mahathir berkata bahawa beliau tidak berfikir ia akan terjadi.

"Apa pun, keputusan (untuk mendakwanya) harus dibuat sekarang."

NASIB NAJIB SEPERTI ANWAR?

Tumpuan masyarakat sudah pasti pada mantan perdana menteri berkenaan, yang sudah berkali-kali menafikan tuduhan ke atasnya. Sejak melepaskan jawatan sebagai pemimpin parti campuran Barisan Nasional selepas kekalahan pertama mereka sejak berkuasa lebih 60 tahun, Encik Najib menggesa para penyokong supaya kekal teguh meski "diserang secara peribadi".

Nasib Encik Najib dikatakan serupa dengan Encik Anwar Ibrahim. Pada tahun 1990-an, Encik Anwar yang ketika itu menyandang jawatan timbalan perdana menteri dipecat oleh Dr Mahathir dan dipenjara atas tuduhan yang didakwa didalangi Dr Mahathir.

Dalam kes Encik Anwar, tuduhan ke atas beliau membantu terbentuknya pasukan pembangkang yang paling berpengaruh ketika itu. Parti Pakatan Harapan yang dipimpin Dr Mahathir kini adalah parti terdahulu yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata beliau percaya dakwaan terhadap Encik Najib berbeza.

"Kes ini lebih jelas... seluruh pilihan raya bersandarkan dakwaan ini," katanya.

"Jadi orang tidak akan berkata, kami sedang menghukum lelaki ini dan sebagainya. Mereka tahu tentang salah lakunya. Kebimbangan mereka sekarang adalah beliau akan melarikan diri. Peguam yang mahir mungkin dapat membantunya."

Dr Mahathir lantang mengkritik Encik Najib pada 2015 selepas berita tentang pelibatannnya dalam penyelewengan dana 1MDB diumumkan.

Ia satu penghinaan bagi Dr Mahathir yang pernah menyokong Encik Najib untuk menyandang jawatan perdana menteri. Atas sebab yang sama, Dr Mahathir keluar dari UMNO dan menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

"Banyak dana yang hilang dan timbul pula wang dalam akaunnya dan sebagainya," katanya semalam (25 Jun).

"Semua ini menunjuk kepada satu tindakan jenayah... tetapi pada sisi lain, jika anda ingin menghadapkannya ke mahkamah, anda perlu mengemukakan bukti bagi setiap tuduhan."

Dr Mahathir selanjutnya berkata, empat agensi sedang meneliti salah laku jenayah yang didakwa dilakukan Encik Najib dan terserah kepada peguam negara untuk "membentang kes yang baik sebelum ke mahkamah". 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan