Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahathir gembira Tok Pa masuk Bersatu

Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa gembira selepas menerima kemasukan Anggota Parlimen Jeli, Mustapa Mohamed, ke dalam partinya.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahathir gembira Tok Pa masuk Bersatu

Dr Mahathir Mohamad dalam wawancara bersama The Associated Press pada 13 Ogos 2018.(Gambar fail: AP)

Diterbitkan : 27 Oct 2018 08:12AM Dikemas Kini : 27 Oct 2018 08:46AM

PETALING JAYA: Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa gembira selepas menerima kemasukan Anggota Parlimen Jeli, Mustapa Mohamed, ke dalam partinya.

Anggota Parlimen itu, yang bertindak keluar dari UMNO pada bulan lalu, menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semalam (26 Okt).

Encik Mustapa menyerahkan borang keanggotaan secara rasmi kepada Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad, yang juga Pengerusi Bersatu, serta disaksikan oleh presiden parti itu, Muhyiddin Yassin dan pimpinan tertingginya pada satu sidang media selepas mesyuarat majlis pimpinan tertinggi parti berkenaan.

"Pertama saya amat suka kerana menerima keahlian bekas tokoh UMNO, kita memberi masa kepadanya untuk memberi Ahli Parlimen bebas dan melihat pendiriannya dan bersetuju, dia layak untuk jadi ahli Bersatu," kata Dr Mahathir, seperti yang ditukil oleh Astro Awani.

Sementara itu, Encik Mustapa mengucapkan terima kasih kepada pimpinan Bersatu yang menerima kemasukannya di dalam parti tersebut.

Astro Awani menukil beliau sebagai berkata: "Terima kasih Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin, keputusan ini menyokong langkah-langkah Dr Mahathir dan kerajaan Malaysia, usaha ini amat penting, melestari dan membantu di samping memberi manfaat kepada segenap rakyat Malaysia."

Pada 18 September lalu, mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia itu turut meletak jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO kerana menganggap hala tuju yang diambil UMNO pada masa ini tidak lagi selari dengan prinsip politik yang menjadi pegangannya selama ini.

Encik Anifah Aman, yang merupakan Anggota Parlimen Kimanis dan mantan Menteri Luar Malaysia, turut berbuat demikian sehari selepas Mustapa meletak jawatan.

Tindakan Encik Mustapa akan membolehkan Bersatu memiliki 14 ahli Parlimen berbanding 13 orang sebelum ini, lapor Astro Awani.

Selain itu, Encik Mustapa juga menjadi bekas pemimpin UMNO pertama bertaraf Anggota Parlimen menyertai Bersatu.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata persidangan kedua Bersatu akan diadakan dari 28 hingga 30 Disember ini.

Mesyuarat itu turut membincangkan isu penambahbaikan dalam keanggotaan parti, selain menghuraikan mana-mana individu yang mahu menjadi anggota parti tersebut. 

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan