Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahathir bertegas kerajaan baru akan tumpu kepada ekonomi, ringankan beban hutang

Kerajaan baru Pakatan Harapan akan menumpukan kepada pengurusan kewangan dan ekonomi negara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahathir bertegas kerajaan baru akan tumpu kepada ekonomi, ringankan beban hutang

Dr Mahathir di sidang media selepas majlis angkat sumpah. (Gambar: ROSLAN RAHMAN/AFP)

Diterbitkan : 11 May 2018 07:55AM Dikemas Kini : 11 May 2018 07:57AM

PETALING JAYA: Kerajaan baru Pakatan Harapan akan menumpukan kepada pengurusan kewangan dan ekonomi negara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga memberi jaminan bahawa kerajaan mahu terus kekal sebagai negara mesra perniagaan, satu konsep persyarikatan Malaysia yang diilhamkan oleh kerajaan.

"Kita berhasrat membina ekonomi Malaysia dengan bantuan pelabur dari dalam dan luar negara. Kita juga mahu melihat peningkatan permodalan pasaran saham. Kita mahu memberi tahu ahli perniagaan yang mereka boleh menaikkan harga (saham) mereka dalam pasaran saham,” kata Dr Mahathir selepas majlis mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketujuh malam semalam (10 Mei).

Dr Mahathir juga berkata bahawa kerajaan akan berusaha untuk menjadikan ringgit sekukuh mungkin. “Kita tidak mahu menyebabkan penurunan nilai ringgit yang akan menjadikan mata wang itu tidak kompetitif. Kita akan berusaha menjadikan ringgit kompetitif,” kata beliau.

Perdana Menteri Malaysia itu turut berikrar bahawa kerajaan baru itu akan menstabilkan harga minyak, yang turun naik setiap minggu.

"Kita tidak mahu harga minyak diselaraskan dan ia amat mengganggu. Kita harap rakyat akan menghargainya kerana kita sama-sama sayangkan negara ini dan kita bukan berjuang untuk wang,” ujar beliau.

Semasa sesi soal jawab, Dr Mahathir berkata kerajaan akan menumpukan kepada masalah kewangan yang memburuk, iaitu jumlah yang dihutang oleh kerajaan sebanyak RM800 bilion (S$270 bilion) dan angka tersebut tidak termasuk beberapa jumlah yang tersembunyi.

"Kita percaya kita akan mendapat balik kebanyakan daripada wang 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kita ada ramai pakar yang akan menangani isu ini. Kita percaya wang itu disembunyikan di Amerika Syarikat, Singapura dan dengan Jho Low (Low Taek Jho).

"Kita mahu meningkatkan keyakinan pelabur dengan memerintah kerajaan mengikut undang-undang,” tegas Dr Mahathir.

Ditanya sama ada beliau boleh mencapai atau mengatasi pentadbiran kerajaan sebelum ini untuk mencatatkan pertumbuhan 5.8 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK), Dr Mahathir berkata: "Saya percaya saya boleh mencubanya. Saya ada pengalaman selama 22 tahun. Ketika negara mengalami kemelesetan ekonomi yang teruk, ekonomi pulih. Kita berjaya menguruskannya dengan baik dan saya dapat menyelesaikan masalah ekonomi.”

Mengenai perkara lain, Dr Mahathir juga menekankan keutamaan kerajaan adalah untuk mengurangkan hutang negara.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan