Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahathir, Anwar perlu ketepikan perbezaan politik demi kepentingan negara

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Samad hari ini (17 Okt) meluahkan harapan agar Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim mengetepikan perbezaan politik demi kepentingan negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahathir, Anwar perlu ketepikan perbezaan politik demi kepentingan negara

Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir Mohamad. (Gambar fail: Mohd Rasfan/AFP)

Diterbitkan : 17 Oct 2020 04:09PM Dikemas Kini : 17 Oct 2020 04:10PM

IPOH: Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Samad hari ini (17 Okt) meluahkan harapan agar Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim mengetepikan perbezaan politik demi kepentingan negara.

Beliau berkata kedua-dua pemimpin itu wajar duduk semeja dan berunding bagi kebaikan negara selain merapatkan kembali Pakatan Harapan (PH).

"Jurang perbezaan antara mereka ini bagi Amanah satu keadaan yang sangat merugikan buat PH. Kali terakhir kita duduk bermesyuarat dalam PH adalah Jun lepas dan selepas itu, keadaan semakin meruncing. Kita tidak bertemu lagi," katanya kepada wartawan selepas merasmikan Konvensyen Amanah Negeri Perak kali ke-5 di Ipoh.

Dr Mahathir merupakan Pengerusi PH sebelum beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 24 Feb lalu, beberapa hari selepas mesyuarat Majlis Presiden PH - yang mana dilaporkan berlaku ketegangan berhubung isu peralihan kuasa antara beliau dengan Anwar untuk jawatan perdana menteri.

Isu jawatan perdana menteri kembali hangat kebelakangan ini selepas Anwar, yang juga Ketua Pembangkang, dilaporkan berkata beliau mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk menerajui kerajaan baru, menggantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sekarang.
 
Pada Selasa lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersetuju menerima Presiden PKR itu menghadap beliau bagi mempersembahkan pernyataan sokongan Ahli Parlimen terhadapnya.

Bagaimanapun, Istana Negara dalam kenyataan selepas itu memaklumkan Anwar tidak mengemukakan senarai Ahli Parlimen yang menyokongnya.

Kenyataan tersebut turut menyatakan Al-Sultan Abdullah menasihati Anwar supaya akur dan menghormati proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.   

Awal dari itu, dalam ucapannya, Khalid mengakui PH yang kini dianggotai PKR, Amanah dan DAP berdepan tugas getir untuk mengatasi PN semasa pilihan raya umum akan datang.

"Dulu kita, PH hadapi PAS dan UMNO secara berasingan, sekarang kita hadapi mereka dalam keadaan bersatu. Dulu Bersatu bersama kita, sekarang mereka (PAS dan UMNO) bekerjasama dengan Bersatu.

"Kita kena faham suasana politik telah berubah, setakat ini walaupun mereka berbalah tapi mereka bersatu. Mereka tahu masa dan ketika bila perlu ketepikan perbezaan," ujarnya.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan