Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Maghribi tarik balik duta ke Arab Saudi, tanda adanya ketegangan 2 hala

Maghribi menarik balik dutanya ke Arab Saudi untuk menjalankan perundingan. Langkah itu membayangkan adanya ketegangan dalam hubungan antara dua sekutu itu berhubung Yaman, Qatar dan Sahara Barat, menurut media Maghribi pada Jumaat (8 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Maghribi tarik balik duta ke Arab Saudi, tanda adanya ketegangan 2 hala

Peperangan di Yaman. (Gambar: AP)

Diterbitkan : 08 Feb 2019 11:46PM Dikemas Kini : 09 Feb 2019 12:01AM

RABAT: Maghribi menarik balik dutanya ke Arab Saudi untuk menjalankan perundingan. Langkah itu membayangkan adanya ketegangan dalam hubungan antara dua sekutu itu berhubung Yaman, Qatar dan Sahara Barat, menurut media Maghribi pada Jumaat (8 Feb).

Duta tersebut, Encik Mustapha Mansouri mengesahkan langkah memanggil balik itu, kepada laman berita Le360.

Duta itu menambah Maghribi dan Arab Saudi terikat oleh hubungan lama yang erat yang kini mengalami "krisis sementara", menurut laporan Le360.

Tiada pengesahan rasmi diberikan oleh kementerian luar Maghribi. Encik Mansouri juga tidak menjawab permintaan untuk memberi komen. Kedutaan Arab Saudi di Rabat juga enggan memberi ulasan.

Seorang pegawai pemerintah memberitahu Reuters pada Khamis bahawa duta itu berada di Maghribi selama seminggu, tanpa mendedahkan sebabnya.

Keputusan memanggil balik duta itu dibuat berhubung siaran dokumentari di saluran Al Arabiya yang bercanggah dengan kedudukan Maghribi berkenaan isu Sahara Barat, duta itu menjelaskan.

Arab Saudi dan negara-negara Teluk lain sebelum ini menyokong tuntutan kedaulatan Maghribi ke atas Sahara Barat, sebuah bekas jajahan Sepanyol yang juga dituntut oleh Polisario Front yang disokong Algeria.

Dokumentari Al Arabiya itu menyusuli satu wawancara dengan Menteri Luar Maghribi Nasser Bourita di saluran Al Jazeera, di mana beliau menyatakan kebimbangannya tentang krisis kemanusiaan di Yaman.

Maghribi, anggota perikatan Arab dalam perang Yaman, tidak lagi menghadiri operasi-operasi ketenteraan mahupun rundingan menteri dan pergerakan ketenteraan, menurut menteri tersebut.

Maghribi "merubah cara dan kandungan pelibatannya dalam perikatan Arab selepas menilai perkembangan di medan," kata beliau.

Ketegangan Maghribi-Saudi bermula sejak Putera Mahkota Mohammed Bin Salman berkuasa, menurut para pengamat politik di Maghribi.

Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) tidak mengundi bagi bidaan Maghribi bagi Piala Dunia 2026, selepas kerajaan Afrika utara itu mengambil pendirian berkecuali berhubung pertikaian antara Qatar dan beberapa negara Teluk yang memutuskan hubungan dengan Doha.

Maghribi juga tidak menyuarakan sokongan bagi Arab Saudi ekoran pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi oleh ejen-ejen Arab Saudi di bangunan konsulat Arab Saudi di Istanbul tahun lalu, yang mencemar nama baik Riyadh di persada dunia. 

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan