Images
  • maghribi murder
    Warga Maghribi berhimpun memperingati 2 pelancong Scandanavia yang dibunuh (Gambar: AFP)

Maghribi berkas 5 lagi suspek kes pembunuhan 2 pelancong

SALE: Pihak berkuasa Maghribi memberkas lima lagi orang berhubung pembunuhan dua wanita Scandinavia minggu lalu di Gunung Atlas, menurut ketua antipengganasan negara itu pada Isnin (24 Dis).

Penangkapan-penangkapan baru itu dibuat di beberapa bandar di negara itu, membawa jumlah keseluruhan penangkapan berkaitan pembunuhan tersebut kepada 18 orang, menurut Abdelhak Khiam, ketua pejabat pusat siasatan kehakiman Maghribi.

"Kedua-dua mangsa ditikam, leher mereka dikelar dan kemudian dipenggal," beliau memberitahu AFP.

Keempat-empat suspek utama dalam kes yang disifatkan pihak berkuasa sebagai tindakan pengganas, diberkas antara Isnin dengan Khamis lalu di pusat tumpuan pelancong, Marrakesh.

Pelajar warga Denmark, Louisa Vesterager Jespersen, 24 tahun, dan warga Norway Maren Ueland, 28 tahun, ditemui mati di satu kawasan pendakian terpencil di selatan Marrakesh pada 17 Dis.

Para penyiasat pada Isnin berkata "sel" yang dipatahkan itu terdiri daripada 18 anggota, termasuk tiga dengan rekod jenayah berkaitan pengganasan.

"Amir kumpulan" adalah Abdessamad Ejjoud, seorang penjual jalanan berusia 25 tahun yang tinggal di pinggir Marrakesh, kata Encik Khiam.

Ejjoud "membentuk sebentuk sel yang membincangkan bagaimana untuk melakukan tindakan pengganasan di negara ini," beliau memberitahu AFP.

Para suspek pembunuhan "bersetuju di bawah pengaruh amir mereka untuk melakukan satu tindakan pengganasan... menyasarkan khidmat keselamatan atau pelancong asing," tambah Encik Khiam kepada AFP.

- AFP/TQ/tq

Top