Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

'Macam minum wanita Melayu' - AP Rusnah Aluai minta maaf kenyataan disalah erti

Ahli Parlimen Tangga Batu Rusnah Aluai memohon maaf berhubung ucapannya mengenai minuman arak 'Timah' di Dewan Rakyat.

Anggaran Waktu Membaca:
'Macam minum wanita Melayu' - AP Rusnah Aluai minta maaf kenyataan disalah erti

Ahli Parlimen Tangga Batu Rusnah Aluai. (Gambar: Facebook/Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hang Tuah Jaya)

Diterbitkan : 30 Oct 2021 08:33AM Dikemas Kini : 30 Oct 2021 08:36AM

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tangga Batu Rusnah Aluai memohon maaf berhubung ucapannya mengenai minuman arak 'Timah' di Dewan Rakyat.

Pada masa sama, Cik Rusnah dalam satu kenyataan ringkas di Facebook berkata, ucapannya itu telah disalahfahami, lapor Malaysiakini.

"Saya meneliti respon dan maklum balas terhadap ucapan saya di Parlimen berhubung isu ‘Timah’ tempoh hari.

"Walaupun niat asal saya adalah untuk memastikan tidak timbul kekeliruan berkait label tersebut, ucapan saya telah disalah erti.

"Oleh itu, kepada pihak-pihak yang tersinggung akan ucapan tersebut, saya memohon maaf," katanya pada Jumaat (29 Okt).

Sebelum ini, Cik Rusnah yang merupakan ahli parlimen PKR menyamakan minum arak 'Timah' yang kini menjadi kontroversi seperti "minum wanita Melayu".

Katanya, jenama dan imej individu bernama Kapten Speedy yang digunakan "benar-benar mengelirukan" dan perlu diubah.

“Ini tidak bagus untuk wanita kerana akan dibayangkan Timah itu wanita Melayu - Kak Timah, Mak Timah, Makcik Timah. Apabila kita minum wiski itu, seolah-olah kita minum wanita Melayu,” katanya di Dewan Rakyat.

Malaysiakini melaporkan kenyataan itu mengundang perhatian ramai di media sosial yang rata-ratanya mengkritik beliau.

Antaranya Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berseloroh dengan jenama makanan yang menggunakan nama manusia.

“Jadi, boleh ke saya makan coklat Daim? Boleh ke saya minum susu Dutch Lady?

“Atau adakah saya 'makan' Tun Daim Zainuddin atau 'minum' perempuan Belanda,” ciapnya di Twitter, seperti dipetik Malaysiakini.

Ketika perkara tersebut mula menjadi kontroversi, syarikat pengeluar arak itu menjelaskan bahawa jenama Timah merujuk kepada bijih timah yang banyak terdapat dengan negara ini suatu ketika dahulu, manakala imej lelaki itu pula ialah Kapten Speedy, yang dikatakan sebagai individu yang memperkenalkan budaya minuman berkenaan pada era pentadbiran British. 

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan