Images
  • msia covid kl
    (Gambar: Lim Huey Teng/REUTERS)

M'sia tidak terburu-buru buka sempadan negara, kata PM Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin menegaskan kerajaan tidak akan terburu-buru membuka sempadan negara.

Beliau berkata sebaliknya kawalan sempadan akan terus diperketat termasuk meningkatkan usaha menghalang kemasukan pendatang tanpa izin bagi mengekang wabak COVID-19.

Perdana Menteri berkata walaupun kawalan sempadan negara yang ketat menimbulkan sedikit kesukaran khususnya kepada rakyat yang mempunyai urusan di luar negara, tindakan tegas perlu diambil untuk melindungi rakyat dan negara daripada wabak berbahaya itu.

“Kita perlu mengimbangi antara keperluan untuk melindungi nyawa dan kehidupan rakyat Malaysia,” katanya dalam perutusan khas situasi semasa COVID-19 yang disiarkan di stesen televisyen tempatan, malam ini.

Sempadan negara masih ditutup kecuali untuk tujuan perniagaan termasuk pelaburan dan pendidikan dengan syarat-syarat pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tertentu yang ketat.

Perdana Menteri berkata sebanyak 1,017 pelawat dari luar negara dikesan positif COVID-19 sepanjang tempoh 3 April sehingga 15 Sep.

Beliau berkata situasi COVID-19 di negara luar pula menunjukkan terdapat beberapa negara yang kini menghadapi ancaman gelombang baharu penularan pandemik itu.

Tegasnya, perkara sama boleh berlaku di Malaysia jika rakyat leka dan memandang remeh penularan virus berbahaya itu di peringkat global.

Encik Muhyiddin berkata selain tindakan yang diambil kerajaan, amalan norma baharu kehidupan oleh rakyat merupakan faktor amat penting dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan wabak tersebut.

“Saya berharap kita semua akan terus cekal, tabah dan berdisiplin dalam menghadapi penularan wabak COVID-19. Ingatkan diri kita supaya terus membudayakan amalan norma-norma baharu kehidupan,” katanya.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- BERNAMA/TQ/tq

Top