Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia tidak gentar dengan ugutan AS, tegas Dr Ahmad Zahid Hamidi

“Pendirian kita cukup jelas bahawa kesucian kota Baitulmakdis harus dipertahankan, bukan kerana kita orang Islam atau negara ini mempunyai pemimpin Islam semata-mata.

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia tidak gentar dengan ugutan AS, tegas Dr Ahmad Zahid Hamidi

Dr Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar fail: AFP/Mohd Rasfan)

Diterbitkan : 22 Dec 2017 06:46PM Dikemas Kini : 22 Dec 2017 06:49PM

PETALING JAYA: Malaysia tidak berganjak dengan pendiriannya untuk terus mempertahankan kesucian Baitulmakdis walaupun Amerika Syarikat membuat ugutan terhadap negara-negara yang menyokong draf resolusi mengenai Baitulmakdis di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerajaan juga tidak khuatir sekiranya ada negara mengambil tindakan diplomatik terhadap Malaysia susulan pendiriannya menentang keputusan Presiden AS Donald Trump mengiktiraf Baitulmakdis sebagai ibu negara Israel.

“Pendirian kita cukup jelas bahawa kesucian kota Baitulmakdis harus dipertahankan, bukan kerana kita orang Islam atau negara ini mempunyai pemimpin Islam semata-mata.

“Negara-negara yang (majoriti penduduknya) menganut agama Kristian malah penganut agama Yahudi Ortodoks sendiri menolak pengumuman Trump untuk memindahkan ibu negara Israel ke Baitulmuqaddis,” kata beliau hari ini (22 Dis).

Pada Isnin lalu (18 Dis), Amerika Syarikat menggunakan kuasa pembatalnya terhadap draf resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menggesa supaya pengisytiharan Encik Trump itu ditarik balik.

Kecuali Amerika Syarikat, baki 14 anggota Majlis Keselamatan sudah mengundi memihak kepada draf itu yang disediakan oleh Mesir.

Amerika Syarikat dilapor mengancam untuk menarik balik bantuan kewangan kepada negara yang menyokong resolusi itu yang mengkritik keputusannya berhubung Baitulmakdis.

Ditanya mengenai kesannya terhadap hubungan diplomatik antara Amerika Syarikat dan Malaysia menyusuli perkembangan terbaru itu, Dr Ahmad Zahid berkata Malaysia tidak menerima banyak bantuan daripada Amerika Syarikat.

Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri Malaysia berkata isu Baitulmakdis merupakan isu khusus dan perlu diasingkan daripada jaringan hubungan antara kedua-dua negara, yang meliputi kerjasama dalam bidang perdagangan, keselamatan dan pertahanan.

Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan