Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia tidak boleh hapuskan tol serta-merta kerana beban hutang kerajaan terdahulu: Dr Mahathir

Penghapusan segera tol tidak boleh dilakukan kerana ia memerlukan pembelian oleh kerajaan, kata Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad.

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia tidak boleh hapuskan tol serta-merta kerana beban hutang kerajaan terdahulu: Dr Mahathir

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. (Gambar: Lai Seng Sin/Reuters)

Diterbitkan : 07 Oct 2019 06:13PM Dikemas Kini : 07 Oct 2019 06:16PM

KUALA LUMPUR: Penghapusan segera tol tidak boleh dilakukan kerana ia memerlukan pembelian oleh kerajaan, kata Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad.

Menurut beliau, ini berdasarkan dapatan satu kajian mendalam yang dilakukan mengenai perkara tersebut.

Dr Mahathir juga berkata masa diperlukan untuk mengurangkan beban rakyat dalam senario tol dihapuskan.

“Tetapi menurunkan bayaran tol boleh dipikul. Jika ada (pihak) swasta yang (mengutarakan cadangan) akan kurangkan tol, cadangan mereka boleh dipertimbang,” ujar beliau dalam kenyataan hari ini (7 Okt).

Janji keenam dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, antara lain, menyatakan gabungan tersebut akan mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuh raya dan berunding bagi mendapatkan harga terbaik bagi mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir untuk menghapuskan kutipan tol secara berperingkat.

Jelas Dr Mahathir: “Apabila saya kata kita tidak janji hapus tol, saya merujuk kepada manisfesto yang menyatakan ia tidak akan dilakukan serta-merta.”

Perdana Menteri seterusnya berkata, kajian menunjukkan bahawa kerajaan terpaksa berbelanja puluhan bilion ringgit untuk mengambil alih lebuh raya bertol secara serta-merta dan berbilion ringgit lagi diperlukan untuk tujuan penyelenggaraan.

Kerajaan dahulu berhutang ribuan bilion ringgit (trilion ringgit) dan ia mesti dibayar bagi mengelak status muflis, terang Dr Mahathir, sambil menambah bahawa pembayaran faedah serta hutang pokok menelan berbilion ringgit.

"Apabila dibayar, dana kerajaan tidak mencukupi untuk pembangunan infrastruktur yang penting jika beban pembelian dan penyelenggaraan lebuh raya ditambah kepada (perbelanjaan) operasi dan pembangunan kerajaan.

"Setelah dikaji, kerajaan tidak mampu melayan permintaan projek oleh rakyat jika dibebani dengan penyelenggaraan lebuh raya," jelas Dr Mahathir.

Beliau menarik perhatian bahawa syarikat-syarikat yang diberi konsesi tol oleh kerajaan boleh menikmati keuntungan, namun hakikatnya, tidak semua yang memiliki konsesi lebuh raya meraih keuntungan.

"Ini kerana dana yang besar diperlukan untuk menyelenggara lebuh raya," kata beliau.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan