Images
  • petronas haze
    Menara Kembar Petronas di Kuala Lumpur, Malaysia diselebungi jerebu. (Gambar: Lim Huey Teng/Reuters)

M'sia tidak bantah; tapi mahu bantu Indonesia tangani kebakaran hutan

JAKARTA: Malaysia tidak menuding jari kepada Indonesia berikutan masalah jerebu, sebaliknya menawarkan bantuan bagi menangani kebakaran hutan di beberapa wilayah Indonesia ketika ini.

Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zainal Abidin Bakar, berkata surat rasmi kerajaan Malaysia menerusi Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin, berhubung tawaran itu sudahpun disampaikan kepada pemerintah Indonesia, baru-baru ini.

"Tidak ada surat protes, tapi (surat) keinginan Malaysia untuk menangani jerebu (membantu memadam kebakaran hutan dan kawasan pertanian di Indonesia)," katanya kepada para wartawan pada Rabu (11 Sep).

Encik Zainal berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan Indonesia, Siti Nurbaya Bakar, seperti dilaporkan media tempatan yang kononnya Malaysia sudah menghantar surat bantahan, menuduh Indonesia menjadi punca berlakunya jerebu di Malaysia.

Cik Siti Nurbaya juga dilaporkan akan menulis surat kepada Encik Zainal Abidin bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu.

Menurut Cik Siti Nurbaya, berdasarkan laporan Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) Indonesia, asap atau jerebu akibat kebakaran di Kalimantan dikesan bergerak ke Malaysia (Sarawak) hanya dalam tempoh satu jam sahaja pada Ahad lalu (8 Sep).

"Asap (jerebu) yang masuk ke Malaysia, ke Kuala Lumpur, itu dari Sarawak dan dari Semenanjung Malaysia, dan juga mungkin sebahagian dari Kalimantan Barat. Oleh itu, (Malaysia) seharusnya objektif menjelaskannya," katanya.

Namun menurut Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi, beliau tidak pernah menerima sebarang surat bantahan dari Malaysia berhubung perkara itu.

"Sampai sekarang, saya belum terima (surat protes) (tapi) Menteri Siti Nurbaya dan BMKG sudah buat kenyataan berkaitan masalah ini (kononnya Malaysia hantar surat bantahan)," kata Retno dipetik media tempatan.

Lebih 42,000 hektar kawasan hutan dan ladang direkodkan terbakar sejak Januari lalu, dengan beratus hektar dilaporkan masih terbakar melibatkan beberapa wilayah di Indonesia.

Lebih 6,000 petugas pemadam kebakaran, yang turut dibantu polis dan tentera kini dikerahkan untuk memadam kawasan kebakaran di Riau, Jambi, Pekanbaru dan Kalimantan.

- BERNAMA/AI/ai

Top