Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia tiada rancangan bangunkan loji nuklear

Kerajaan tiada rancangan untuk membangunkan kuasa nuklear bagi menjana elektrik di Malaysia berikutan risiko-risiko yang berkaitan dengannya, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia tiada rancangan bangunkan loji nuklear

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. (Gambar: Sadiq Asyraf/AFP)

Diterbitkan : 18 Sep 2018 10:05PM Dikemas Kini : 18 Sep 2018 10:11PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan tiada rancangan untuk membangunkan kuasa nuklear bagi menjana elektrik di Malaysia berikutan risiko-risiko yang berkaitan dengannya, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata walaupun kos pengeluaran tenaga menerusi kuasa nuklear adalah jauh lebih murah, namun masih kurang pengetahuan untuk mengendalikannya, terutamanya cara yang paling selamat untuk melupuskan sisa nuklear.

"Saya bantah kuasa nuklear kerana kita ada pengalaman buruk dengan bahan yang menghasilkan radiasi di negara ini,” katanya di Persidangan Industri Bekalan Kuasa Elektrik (CEPSI) 2018, hari ini (18 Sep).

Dr Mahathir juga memberi contoh tragedi nuklear yang membawa bencana pada 1986, di Chernobyl, yang dianggap sebagai kemalangan loji kuasa nuklear paling buruk dalam sejarah dari segi kos dan mengorbankan banyak nyawa.

Menurutnya, semasa tempoh beliau menjadi perdana menteri keempat, negara berdepan dengan isu amang, bahan penghasil radiasi yang asalnya digunakan sebagai bahan dalam pengeluaran televisyen warna.

Sebagai resolusinya, bahan itu dikambus di kawasan meliputi satu kilometer persegi, yang menyebabkan kehilangan kawasan bagi pembangunan masa depan.

"Apa yang kita pelajari daripada ini adalah sisa buangan daripada bahan radiasi bukan mudah untuk dilupuskan,” katanya.

Dr Mahathir berkata prinsip yang sama terpakai bagi loji nuklear apabila tiba di peringkat untuk melupuskan sisa bahan nuklear.

Beliau berkata kemalangan nuklear yang membawa bencana disebabkan kegagalan loji kuasa nuklear di Jepun dan Ukraine adalah contoh risiko-risiko berkaitan dengan penjanaan kuasa nuklear.

Dr Mahathir berkata negara akan terus menggunakan sumber fosil seperti bahan api dan arang batu serta hidro untuk menjana elektrik.

"Rasanya kita akan dapat membekalkan elektrik yang mencukupi ke negara ini bagi tempoh jangka panjang,” katanya.

Sementara itu, mengenai kenderaan elektrik (EV), beliau berkata masih lama lagi untuk EV menggantikan enjin pembakaran dalaman (ICE) sebagai teknologi kereta utama disebabkan kekangan kos.

Persidangan enam hari itu yang bermula semalam (17 Sep), menarik lebih 2,000 peserta dari 30 negara untuk berkongsi idea dan pandangan berkenaan isu-isu semasa yang memberi kesan kepada industri bekalan kuasa. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan