Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia tahan guru, buruh binaan disyaki rancang serangan

Polis Malaysia hari ini (22 Jan) menyatakan pihaknya berjaya menangkap seorang guru sekolah agama swasta dan pekerja binaan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan-kegiatan yang ada kaitan dengan kumpulan pengganas ISIS.

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia tahan guru, buruh binaan disyaki rancang serangan

Seorang guru sekolah agama swasta dan pekerja binaan ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kegiatan berkaitan dengan ISIS. (Gambar: PDRM)

Diterbitkan : 22 Jan 2018 07:12PM Dikemas Kini : 22 Jan 2018 08:10PM

KUALA LUMPUR: Polis Malaysia hari ini (22 Jan) menyatakan pihaknya berjaya menangkap seorang guru sekolah agama swasta warga Malaysia dan seorang pekerja binaan warga Indonesia kerana disyaki terlibat dalam kegiatan-kegiatan yang ada kaitan dengan kumpulan pengganas ISIS.

Guru berusia 25 tahun itu ditangkap pada 25 Disember tahun lalu di Petaling Jaya, Selangor selepas dia didakwa merancang untuk menyerang pusat-pusat hiburan sekitar lembah Klang.

Polis menyatakan, suspek itu juga aktif mempromosi ideologi Salafi Jihadi kumpulan pengganas ISIS melalui Facebook miliknya bagi tujuan merekrut anggota baharu. Dia juga dikesan mempunyai hubungan dengan beberapa bekas anggota kumpulan pengganas ISIS dan bekas anggota kanan Kumpulan Militan Malaysia (KMM).

Menurut polis lagi, warga tempatan itu pernah ditahan dan dihukum penjara bagi pelbagai kesalahan keselamatan pada 2015. Tetapi sebaik dibebaskan, suspek kembali aktif dalam kumpulan ISIS dan merancang untuk merompak, menculik atau membunuh orang bukan Islam.

Suspek kedua, seorang buruh binaan warga Indonesia ditahan di Kuala Lumpur pada 17 Januari lalu selepas dikesan merancang untuk mencuri senjata api.

“Suspek merancang untuk melakukan serangan ke atas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Balai Polis Travers di sini bagi merampas senjata api daripada stor senjata api di kedua-dua lokasi berkenaan,” kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam kenyataan di sini hari ini (22 Jan).

Menurut Tan Sri Mohamad Fuzi lagi, suspek yang berusia 23 tahun itu juga merancang untuk mencuri senjata api di balai polis yang lain dan kem-kem tentera untuk digunakan dalam serangan di Malaysia dan Indonesia.

“Suspek juga berbai’ah dengan seorang pemimpin kanan kumpulan pengganas Daesh (ISIS) melalui aplikasi WhatsApp dan cuba merekrut beberapa warga Indonesia bagi menyertai kumpulan pengganas ISIS.

“Bagi membuktikan bahawa kumpulan pengganas Daesh masih aktif di Malaysia, suspek menaikkan dan mengibarkan bendera kumpulan pengganas itu di tapak pembinaan tempat beliau bekerja (di Kuala Lumpur),” kata beliau.

Dalam kenyataannya, pihak berkuasa menyatakan suspek pernah membuat pemantauan di sekitar Jalan Pudu pada November tahun lalu.

Bersenjatakan sebilah pisau, suspek dikatakan mencari sami Buddha untuk dibunuh sebagai tindakan balas dendam terhadap kekejaman pemerintah Myanmar ke atas Muslim Rohingya.

Bagaimanapun, percubaan itu digagalkan polis yang turut merampas pisau terbabit dari suspek.

Sumber : CNA/SU/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan