Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia sudah mula proses ganti jet pejuang Hawk: Hishammuddin Hussein

Kerajaan Malaysia merancang secara sistematik penggantian pesawat Hawk 108 dan Hawk 208 seperti yang digariskan dalam Pembangunan Keupayaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) 2055 atau dikenali sebagai CAP55.

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia sudah mula proses ganti jet pejuang Hawk: Hishammuddin Hussein

Pesawat Hawk yang terlibat dalam nahas di Butterworth, Pulau Pinang pada 16 Nov 2021 (Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 25 Nov 2021 06:46PM Dikemas Kini : 25 Nov 2021 06:55PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia merancang secara sistematik penggantian pesawat Hawk 108 dan Hawk 208 seperti yang digariskan dalam Pembangunan Keupayaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) 2055 atau dikenali sebagai CAP55.

Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata kerajaan juga sudah memulakan proses penggantian dengan meluluskan perolehan baharu pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) melalui Rolling Plan 1, 2021.

“Tender terbuka antarabangsa bagi perolehan ini ditutup pada 6 Okt 2021 dan kini sedang dalam proses penilaian. Jadi proses dah berjalan dan ia berada dalam perancangan CAP55,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini (25 Nov).

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) yang ingin tahu sama ada kerajaan telah mempertimbang penghentian pesawat Hawk dan status terkini perolehan baru bagi menggantikan pesawat itu.

Menjawab soalan asal Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) mengenai pangkalan TUDM di kawasan berkepadatan tinggi serta di lokasi yang tidak lagi strategik, Encik Hishammuddin berkata kesemua landasan terbang TUDM mengikut standard piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa yang diaudit secara berkala oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan TUDM sendiri.

Beliau berkata walaupun berada dalam kawasan berkepadatan tinggi, selagi ia menepati piawaian, tiada keperluan Kementerian Pertahanan (Kementah) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memindahkan dan membuat keputusan drastik berkenaan kedudukan pangkalan TUDM sedia ada.

“Tambahan pula, bagi kesemua operasi penerbangan pesawat TUDM, ia juga tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dan piawaian keselamatan penerbangan yang amat ketat dan tahap pematuhan yang tinggi sebelum sesuatu misi penerbangan dibenar untuk dilaksanakan.

“Antaranya prosedur piawaian anak kapal seperti aspek latihan, kemahiran dan kompetensi, prosedur kejuruteraan yang merangkumi aspek penyelengaraan dan kelayakan terbang berdasarkan Standard Aviation Authority dalam negara dan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh pengeluar peralatan tulen (OEM),” katanya.

Encik Hishammuddin berkata Kementerian dan ATM akan berusaha untuk menambah baik SOP dan langkah keselamatan sedia ada demi memastikan keselamatan anggota dapat dipertingkatkan.

Terdahulu sebelum menjawab soalan, Encik Hishammuddin menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga juruterbang TUDM Allahyarham Kapten Mohamad Affendi Bustamy yang terkorban dalam insiden pesawat Hawk 108 di Butterworth, Pulau Pinang pada 16 Nov.

Beliau turut berharap Mejar Mohd Fareez Omar yang cedera dalam nahas itu segera sembuh selepas selamat menjalani pembedahan akibat kecederaan di bahagian pinggang dan tulang belakang. 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan