Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia senada dengan S'pura tangguh mesyuarat JMCIM

Malaysia senada dengan Singapura untuk menangguhkan Mesyuarat Tahunan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura untuk Iskandar Malaysia (JMCIM) ke-14 yang dijadualkan berlangsung Isnin ini (14 Jan), buat sementara waktu.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 12 Jan 2019 09:37PM Dikemas Kini : 12 Jan 2019 11:58PM

TANAH RATA: Malaysia senada dengan Singapura untuk menangguhkan Mesyuarat Tahunan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura untuk Iskandar Malaysia (JMCIM) ke-14 yang dijadualkan berlangsung Isnin ini (14 Jan), buat sementara waktu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali yang sepatutnya mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat berkenaan menarik perhatian bahawa ia ekoran beberapa isu mesyuarat itu berkait rapat dengan perkara yang dibangkitkan dalam mesyuarat dua hala antara Menteri Luar kedua-dua negara pada 8 Jan.

Encik Azmin berkata beliau akan mengadakan pertemuan bersama Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan dan Menteri Pembangunan Negara Singapura, Encik Lawrence Wong, pada 13 hingga 14 Jan. Pertemuan itu bagi memperhalusi lebih lanjut perkara-perkara yang dibangkitkan dalam mesyuarat dua hala, sebelum dibawa ke mesyuarat JMCIM seterusnya.

"Oleh kerana mesyuarat itu (dua hala kementerian luar) baru sahaja berlangsung dan kedua-dua negara keluarkan satu kenyataan bersama yang cukup positif, maka saya tidak mahu mengganggu proses perbincangan itu dengan adanya JMCIM.

"Maka eloklah kita tangguhkan dahulu," katanya.

Beberapa portal media sebelum ini melaporkan mesyuarat JMCIM kini menjadi tidak menentu selepas sebuah kapal Jabatan Marin Malaysia yang membawa Menteri Besar Johor Osman Sapian dikatakan belayar menghampiri kawasan perairan yang menjadi pertikaian antara kedua-dua negara, Rabu (9 Jan).

Susulan insiden itu, Kementerian Ehwal Luar Singapura mengeluarkan kenyataan hari ini (12 Jan) menyatakan bahawa pencerobohan di kawasan perairan Sindapura di luar Tuas itu menjadikan mesyuarat JMCIM ke-14 tidak dapat diadakan, sekaligus mencadangkan supaya mesyuarat itu ditangguhkan, dan ia dipersetujui Malaysia.

Ditanya sama ada dakwaan pencerobohan itu menjejaskan hubungan kedua-dua negara, Mohamed Azmin tegas mengatakan tidak.

"Kementerian Luar kedua-dua negara mengambil satu sikap terbuka untuk pastikan semua isu perairan, maritim dan sempadan perairan diputuskan secara muafakat dan baik," katanya.

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan