Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia sahkan pengambilan pembantu rumah secara online, majikan jimat 90%

Majikan boleh berjimat lebih 90 peratus dalam pengambilan pembantu rumah asing secara online bermula 1 Januari depan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia sahkan pengambilan pembantu rumah secara online, majikan jimat 90%

Gambar fail. (Gambar: AFP/Noel Celis)

Diterbitkan : 16 Dec 2017 10:52PM Dikemas Kini : 16 Dec 2017 10:54PM

PUTRAJAYA: Majikan boleh berjimat lebih 90 peratus dalam pengambilan pembantu rumah asing secara online bermula 1 Januari depan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata sebelum ini, majikan perlu membayar hingga RM18,000 (S$5,950) tetapi kini mereka hanya perlu membayar RM1,635 (S$540) kepada kerajaan melalui Jabatan Imigresen.

Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata jumlah itu adalah kos bagi pengambilan pembantu rumah dan tidak termasuk kos penerbangan dan pasport.

“Kerajaan mengambil langkah pengurangan termasuk mengurangkan kadar wang cagaran dari RM1,000 (S$330) kepada RM500 (S$165) dan wang proses dari RM500 (S$165) kepada RM250 (S$82).

“Ini bererti kerajaan mengambil langkah proaktif agar sebarang pembayaran pengambilan terus pembantu rumah asing dapat dikurangkan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin semalam (15 Dis).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Belanjawan 2018 mengumumkan kerajaan kini memberi pilihan kepada majikan untuk mengambil pembantu rumah asing secara langsung dari sembilan negara sumber tanpa melalui ejen.

Dr Ahmad Zahid berkata dalam mesyuarat itu, satu kaedah diperincikan melibatkan pengambilan pembantu rumah asing hanya dari Indonesia dan Filipina menyusuli kekangan dan perundangan dua negara itu.

“Oleh itu, majikan tidak diizinkan mengambil terus pembantu rumah asing tetapi perlu melalui syarikat berdaftar dengan Kementerian Tenaga Kerja atau Buruh di negara berkenaan.

“Kita kena mematuhi perundangan Indonesia dan Filipina dan berharap majikan akan memohon melalui syarikat serta mendapatkan nama-nama bakal pembantu untuk dikemukakan permohonan atas talian,” katanya.

Namun, majikan boleh mengambil terus pembantu rumah asing dari tujuh negara sumber lain.

Dr Ahmad Zahid berkata mesyuarat itu juga memutuskan bahawa pembantu rumah asing perlu menjalani saringan kesihatan tambahan mulai 1 Januari ini.

Saringan kesihatan itu akan dilaksanakan sebelum pekerja asing berlepas dari negara asal, sebulan selepas ketibaan di Malaysia, pada akhir tahun pertama, akhir tahun kedua dan setiap dua tahun selagi pekerja asing tersebut digajikan di Malaysia.  

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan