Images
  • sugarbook app
    (Gambar: Facebook/Sugarbook)

M'sia pertimbang larang app Sugarbook ekoran dakwaan pembabitan pelajar

KOTA BHARU: Dakwaan pembabitan mahasiswa Malaysia dalam kegiatan tidak bermoral melalui aplikasi ‘Sugarbook’ perlu disekat, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary.

Beliau berkata sekiranya perkara itu benar berlaku, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat khususnya pengendali aplikasi tersebut.

"Ini satu perkara yang sangat mendukacitakan kita dan saya sudah sebut bahawa pihak kerajaan akan mengenakan tindakan yang lebih keras dan tegas terhadap mereka yang terbabit.

"Aplikasi itu juga perlu dihalang daripada digunakan di negara kita kerana ia boleh mendorong rakyat melakukan perkara yang tidak betul, melanggar undang-undang dan hukum syarie," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Sumbangan Musaadah COVID-19 kepada lebih 80 pemandu teksi di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Pengkalan Chepa di Kota Bharu pada Ahad (14 Feb).

Encik Ahmad Marzuk diminta mengulas mengenai peningkatan jumlah pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini yang didakwa menggunakan aplikasi itu untuk mencari 'sugar daddy'.

Katanya, pihaknya akan menyerahkan siasatan perkara itu kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata statistik menunjukkan seramai 12,705 pelajar IPT berdaftar dengan aplikasi Sugarbook yang disifatkan bertentangan dengan hukum Islam.

Beliau turut berkata berdasarkan rekod, terdapat peningkatan lebih 40 peratus pendaftaran pengguna baharu aplikasi itu akibat desakan hidup sewaktu pandemik COVID-19 yang masih lagi menular di seluruh dunia.

- BERNAMA/TQ/tq

Top