Images
  • corn
    Gambar hiasan jagung. (Gambar: Unsplash)

M'sia pandang serius, pantau serangan ulat ratus terhadap tanaman jagung

KOTA BHARU: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA) memandang serius serangan ulat ratus ke atas tanaman jagung di Perlis, Perak, Kedah serta Johor sejak Januari lalu dan sedang memantau keadaan itu.

Ketua Setiausaha MoA Mohd Sallehuddin Hassan berkata ini berikutan kemungkinan ulat berkenaan akan menyerang tanaman padi pula iaitu makanan ruji di Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata Jabatan Pertanian sedang menyediakan laporan lengkap berhubung perkara tersebut untuk tindakan lanjut.

"Ulat ini tahan terhadap racun serangga dan dipercayai pembiakannya terencat ketika jerebu yang melanda negara baru-baru ini. Selepas menjadi kumbang, ia mampu terbang sehingga kira-kira 100 kilometer.

"Ia akan makan dan bertelur di pokok jagung. Pegawai Mardi telah dihantar ke kawasan terjejas untuk menjalankan kajian terhadap serangga ini," kata Ecnik Mohd Sallehuddin.

"Tanaman padi masih selamat sebab ada jagung (yang menjadi makanan ulat ratus) tapi kebimbangan kita, ia akan serang tanaman lain pula termasuk padi.

"Ini sebenarnya merupakan masalah antarabangsa dan kita sedang mendapatkan bantuan daripada China kerana negara itu masih belum diserang oleh ulat ratus ini," ujarnya lagi.

Beliau bercakap kepada wartawan selepas melancarkan varieti padi hibrid pertama negara yang dikenali sebagai MR 12H di Ladang Merdeka Mulong, Kota Bharu, hari ini (6 Okt). 

- BERNAMA/FZ/fz

Top