Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia negara keempat ‘risau’ meniti usia senja

Malaysia adalah negara keempat teratas daripada 29 negara yang rakyatnya bimbang menghadapi usia tua, menurut kaji selidik sebuah firma penyelidikan pasaran Ipsos Sdn Bhd (Ipsos).

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia negara keempat ‘risau’ meniti usia senja

Gambar fail Kuala Lumpur. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 14 Aug 2019 10:33AM Dikemas Kini : 14 Aug 2019 10:35AM

KUALA LUMPUR: Malaysia adalah negara keempat teratas daripada 29 negara yang rakyatnya bimbang menghadapi usia tua, menurut kaji selidik sebuah firma penyelidikan pasaran Ipsos Sdn Bhd (Ipsos).

Ipsos, dalam satu kenyataan berhubung, kajian terbarunya mengenai 'Penuaan di Malaysia' hari ini (14 Ogos) menunjukkan bahawa Malaysia berada di kedudukan selepas Brazil, China dan Rusia yang masing-masing menduduki tempat pertama hingga ketiga.

Berdasarkan kajian itu, 62 peratus rakyat Malaysia risau tentang penuaan, berbanding dengan 52 peratus jumlah penduduk yang melahirkan kebimbangan di seluruh dunia.

"Sebagai perbandingan, warga India (45 peratus), Amerika Syarikat (48 peratus) dan United Kingdom (50 peratus) tidak begitu bimbang meniti usia tua," menurut kajian tersebut.

Kajian itu turut mendedahkan 49 peratus rakyat Malaysia tidak optimis tentang penuaan serta bimbang meniti usia tua.

"Dapatan ini sangat berbeza dengan beberapa pasaran baru muncul iaitu India dengan 73 peratus dan Turki (67 peratus) yang sangat optimis tentang usia tua.

"Kebimbangan rakyat Malaysia tentang peringkat hidup tua ini boleh diterjemahkan oleh pemasar sebagai potensi peluang," menurut kajian tersebut.

Namun, kajian itu mendapati sejumlah 76 peratus rakyat Malaysia merasakan bahawa persediaan boleh dibuat bagi meniti usia tua dan keyakinan itu berpunca daripada hakikat bahawa 85 peratus rakyat tempatan menjangkakan kesihatan baik pada usia tua.

"Secara global, hanya 29 peratus bersetuju bahawa warga tua mempunyai pengaruh terlalu banyak dari segi politik.

"Bagaimanapun, sehingga 44 peratus responden rakyat Malaysia merasakan warga tua mempunyai pengaruh politik," menurut kenyataan itu.

Kajian itu juga menunjukkan bahawa kekurangan optimisme rakyat Malaysia tentang penuaan diimbangi kepercayaan mereka terhadap teknologi, dengan sejumlah 60 peratus responden percaya bahawa perkembangan teknologi akan memudahkan kehidupan mereka pada usia tua.

"Sebaliknya pula, kira-kira 50 peratus warga Eropah (44 peratus di Perancis dan Belgium, 46 peratus di Sweden, 48 peratus di Hungary dan Republik Czech dan 51 peratus di United Kingdom) percaya bahawa teknologi dapat meningkatkan kehidupan mereka secara drastik pada usia tua," menurut kajian itu lagi.

Selain itu, rakyat Malaysia juga beranggapan bahawa usia 56 tahun sebagai permulaan peringkat hidup tua mereka.

Kajian tersebut diperolehi daripada kaji selidik Global Advisor yang dijalankan antara 24 Ogos hingga 7 September tahun lalu, melalui sistem Panel Dalam Talian Ipsos dengan melibatkan 20,788 individu berusia 16 hingga 64 tahun di 29 negara, termasuk Malaysia.

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan