Images
  • gobind singh deo
    Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Gobind Singh Deo. (Gambar: Bernama)

M'sia mungkin pinda undang-undang bagi tangani isu buli siber

KUALA LUMPUR: Putrajaya mungkin akan meminda undang-undang berhubung penggunaan Internet untuk menangani perbuatan membuli di alam siber, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Gobind Singh Deo pada Rabu (15 Mei).

Ini selepas seorang remaja perempuan 16 tahun dari Sarawak membunuh diri selepas menjalankan pengundian menerusi aplikasi mengongsi gambar Instagram.

Dia bertanya dengan para pengikut Instagramnya untuk membantunya memilih antara huruf 'L' bagi kehidupan dengan huruf 'D' bagi kematian, sebelum dia terjun dari bumbung sebuah bangunan pada Isnin.

Keputusan pengundian itu menunjukkan 69 peratus daripada para pengikut remaja itu memilih huruf 'D', menurut polis.

Encik Gobind ditukil oleh Malay Mail sebagai berkata beliau meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) supaya bekerjasama dengan polis untuk mengesahkan fakta-fakta kes tersebut.

"Saya rasa kita patut berhati-hati dalam hal-hal seperti ini. Saya fikir ia perkara serius di mana media sosial digunakan dengan cara yang mengancam nyawa orang-orang tertentu."

"Saya fikir pada masa yang sama, kita juga mahu meneliti bagaimana Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) mungkin dapat disesuaikan untuk menangani masalah-masalah seperti ini," tambah Encik Gobind.

Sementara itu, MCMC menggesa orang ramai supaya lebih berwaspada terhadap catatan-catatan media sosial yang condong kepada bunuh diri.

Catatan-catatan sedemikian mesti dilaporkan kepada polis, dan juga para anggota keluarga individu yang terlibat, menurut kenyataan MCMC pada Rabu.

Awal dari itu, peguam dan anggota parlimen Ramkarpal Singh berkata, mereka yang mengundi kematian remaja itu mungkin bersalah kerana bersubahat.

Di bawah undang-undang Malaysia, sesiapa yang didapati bersalah kerana menghasut budak bawah umur untuk membunuh diri, boleh dikenakan hukuman mati atau hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. (Gambar: Bernama)

Menteri Belia dan Sukan Malaysia Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut menggesa agar siasatan dijalankan dan menurut beliau, kadar bunuh diri dan isu-isu kesihatan mental dalam kalangan belia perlu dipandang serius.

Pada Rabu, Encik Gobind menggesa media supaya menggunakan budi bicara yang sewajarnya apabila melaporkan insiden itu.

"Kita perlu memahami bahawa ramai orang terlibat secara langsung dan kita perlu mengambil langkah-langkah supaya apabila kita menghasilkan laporan, kita turut mengambil kira perasaan dan pandangan (keluarga-keluarga)," kata Encik Gobind, menurut laporan Malaysian Insight.

- CNA/Bernama/ZM/zm

Top