Images
  • malaysia covid-19

M'sia lapor kes pertama varian COVID-19 dari India

KUALA LUMPUR: Malaysia mengesan kes pertama jangkitan COVID-19 membabitkan varian India.

Demikian menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Adham Baba pada Ahad (2 Mei), beberapa hari selepas melaksanakan sekatan ke atas penerbangan-penerbangan dari India.

Varian, yang dikenali sebagai B.1.617 itu dikesan daripada seorang warga India yang menjalani ujian saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, kata beliau (KLIA).

Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyifatkannya sebagai "varian yang menjadi tumpuan", menyarankan bahawa ia mungkin mempunyai mutasi yang akan menjadikan virus itu lebih mudah berjangkit, menyebabkan penyakit lebih teruk atau mengelak daripada imuniti vaksin.

"Kami menasihatkan orang awam supaya terus bertenang. Semua usaha kesihatan awam akan diteruskan untuk memutuskan rantaian jangkitan dan memastikan keselamatan awam," kata Encik Adham.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bila varian itu dikesan.

Malaysia, yang sedang bergelut dengan kenaikan kes COVID-19, pada Rabu (28 Apr) menyekat penerbangan ke dan dari India dan juga melarang kemasukan pengunjung dari mana-mana destinasi India daripada memasuki negara itu untuk mencegah penularan varian baru.

India sedang bergelut dengan gelombang kedua penularan COVID-19 yang membebankan hospital-hospital, rumah-rumah mayat dan tempat-tempat pembakaran mayat.

Malaysia, pada bulan Februari lalu, melancarkan program vaksinasi di merata negara dan menyasarkan untuk memberi vaksin kepada 80 peratus daripada 32 juta penduduknya dalam tempoh setahun.

Malaysia melaporkan 3,418 kes baru COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitannya kepada 415,012, termasuk lebih 1,500 kes kematian.

- Reuters/NK/nk

Top