Images
  • msia covid (2)
    Para pelajar memakai pelitup di sebuah sekolah di Shah Alam. (Gambar fail: Lim Huey Teng/Reuters)

M'sia lapor hampir 900 kes baru COVID-19 pada 18 Okt

PUTRAJAYA: Jumlah kes baru harian COVID-19 di Malaysia mencatatkan rekod tertinggi sejak pandemik tersebut melanda negara itu - 871 kes dilaporkan hari ini (18 Okt). Ini menjadikan angka keseluruhan sebanyak 20,498 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan terbaru itu menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan virus tersebut kepada 7,049 kes.

Beliau berkata tujuh kematian dilaporkan setakat jam 12.00 tengah hari ini, menjadikan jumlah kematian akibat virus itu mencecah 187 kes di Malaysia.

Bagaimanapun, Malaysia melaporkan berita baik dengan kes pulih harian tertinggi pada 701 kes. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya sebanyak 13,262 kes atau 64.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Sebanyak 97 kes (11.1 peratus) pada hari ini adalah daripada Kluster Tembok, Kluster Penjara Reman, Kluster Penjara Seberang Perai dan Kluster Penjara Kepayan. Kes-kes ini sememangnya terasing di dalam penjara dan tidak menjangkiti masyarakat.

"Negeri-negeri di Lembah Klang pula merangkumi 9.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. Negeri Sabah terus mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 702 kes (80.6 peratus)," kata Dr Noor Hisham lagi di sidang media mengenai perkembangan terkini COVID-19. 

SATU KES IMPORT DARI S'PURA

Daripada 871 kes baru yang dilaporkan, Dr Noor Hisham menambah, terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara. Jumlah ini termasuk tiga rakyat asing, yang semuanya di Selangor - iaitu masing-masing dua kes dari India dan Nepal serta satu dari Singapura.

“Daripada 866 kes penularan di dalam negara, dua kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, yang menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 Sept 2020 sebanyak 443 kes,” katanya.

Berikut jumlah kes penularan dalam negeri:

- Sabah (702)
- Selangor (72)
- Pulau Pinang (45)
- Perak (10)
- Labuan (9)
- Kedah (9)
- Kuala Lumpur (7)
- Sarawak (5)
- Negeri Sembilan (3)
- Terengganu (2)
- Johor (1)
- Melaka (1)

Sehingga kini, terdapat 86 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 28 memerlukan bantuan pernafasan.

Selain itu, Kementerian Kesihatan mengenal pasti empat kluster baru, menjadikan kluster aktif di Malaysia setakat ini sebanyak 85. 

- BERNAMA/AQ/aq

Top