Images
  • malaysia covid
    Seorang petugas kesihatan dilihat di Segamut. (Gambar: AP)

M'sia lapor 199 korban COVID-19, paling tinggi sejauh ini

KUALA LUMPUR: Sebanyak 199 kematian dilaporkan hari ini (21 Jul), angka tertinggi dicatat sejak pandemik COVID-19 melanda Malaysia.

Ia juga membawa jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 kepada 7,440 orang, dedah Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Menerusi kenyataan mengenai perkembangan COVID-19, beliau memaklumkan kematian itu melibatkan 84 orang di Selangor, Kuala Lumpur (57), Melaka (16), Kedah (12), Negeri Sembilan (tujuh), Johor (enam), Pahang (enam), Terengganu (tiga), Pulau Pinang (dua), Perak (dua), Kelantan (dua) dan  masing-masing satu kes di Sabah dan Sarawak.

“Jumlah individu yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) setakat ini 927 orang dengan 459 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Jumlah kes sembuh dalam tempoh 24 jam lepas adalah 7,902, menjadikan jumlah kumulatif 806,857 kes manakala kes aktif kini sebanyak 137,587 kes,” katanya.

HANYA 2.4% KES TERUK

Menurut Dr Noor Hisham, dalam tempoh 24 jam lalu, Malaysia mencatat 11,985 kes baru COVID-19, dengan Selangor kekal merekodkan kes tertinggi iaitu sebanyak 5,550.

Daripada 11,985 kes harian itu, 65 kes adalah daripada kategori 5 (kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan), 45 kes kategori 4 (radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen), 178 kes kategori 3 (radang paru-paru), 5,847 kes kategori 2 (bergejala ringan), dan 5,850 kes kategori 1 (tidak bergejala).

“Secara keseluruhannya, hanya 2.4 peratus kes yang dilaporkan pada hari ini berada pada kategori 3 hingga 5 dan 97.6 peratus kes berada pada kategori 1 dan 2, iaitu pada mula didiagnosis,” katanya.

VAKSIN BANTU KURANGKAN JANGKITAN

Beliau berkata, daripada laporan yang diterima Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis (CPRC) Kebangsaan dan CPRC Perkhidmatan Hospital, kumpulan usia lebih muda misalnya 40-an dan 50-an dilihat lebih banyak memenuhi ICU berbanding warga emas berumur 60 tahun dan ke atas.

Situasi tersebut membuktikan vaksin membantu mengurangkan jangkitan COVID-19 kalangan golongan rentan dan warga emas.

“Oleh itu, KKM ingin terus menyeru warga Malaysia terutamanya daripada kumpulan usia 18 hingga 59 tahun untuk mendaftar, mengikut janji temu yang ditetapkan, dan hadir mendapatkan vaksin COVID-19,” katanya.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat 30 kelompok baru dikesan melibatkan 17 kelompok tempat kerja, lapan kelompok komuniti, dua kelompok kumpulan berisiko tinggi, dua kelompok keagamaan dan satu kelompok pendidikan tinggi, menjadikan jumlah kelompok aktif kini 931. 

- BERNAMA/SM/sm

Top