Images
  • israel palestine west bank
    Petempatan Israel, Psagot, menunjukkan sebahagian pemandangan bandar Tebing Barat Palestin, Ramallah. (Gambar: Emmanuel DUNAND/AFP)

M'sia kutuk rancangan Israel ilhak kawasan Palestin

KUALA LUMPUR: Malaysia mengutuk dan membantah sekeras-kerasnya rancangan Israel untuk memperluas wilayah Palestin yang didudukinya di Tebing Barat.

Menyifatkan tindakan itu sebagai bertentangan undang-undang serta unilateral, Wisma Putra berkata sebarang pengilhakan wilayah Palestin oleh Israel sebagai kuasa penceroboh merupakan pencabulan terang-terangan undang-undang antarabangsa, khususnya Konvensyen Geneva Keempat 1949 serta Resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) iaitu Resolusi 2334 (2016) Majlis Keselamatan PBB.

“Tindakan Israel jelas mencabuli perjanjian damai yang ditandatanganinya dengan Palestin iaitu Perjanjian Oslo 1993 dan 1995. Tindakan rejim juga menimbulkan persoalan akan keikhlasannya dalam usaha mencapai pendamaian dan penyelesaian terhadap konflik Palestin-Israel.

“Malah, ia turut memalapkan lagi prospek penyelesaian pembentukan dua negara yang disokong oleh masyarakat antarabangsa,” demikian menurut kenyataan itu.

Wisma Putra berkata Malaysia kekal teguh bersama rakyat Palestin susulan tindakan Israel itu dan menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB melunaskan tanggungjawab terhadap rakyat Palestin yang termaktub dalam piagamnya tanpa bertangguh lagi.

Majlis Keselamatan harus mengutuk dan menolak rancangan pengilhakan Israel serta harus memastikan rancangan tersebut tidak dilaksana, katanya.

“Malaysia mengulangi penegasan sokongan tidak berbelah bagi terhadap penduduk Palestin dan perjuangan mereka untuk bebas daripada pencerobohan haram Israel serta merealisasikan impian penubuhan negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

“Sehubungan itu, Malaysia akan terus menyokong usaha-usaha ke arah mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan ini yang kami yakini akan menyumbang kepada keamanan, keadilan dan kestabilan di rantau itu,” kata Wisma Putra.

- BERNAMA/TQ/tq

Top