Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia: Kemelut orang Melayu membimbangkan; ia harus dibincang dengan muafakat dan lapang dada, tegas Sultan Johor

Sultan Johor melahirkan kebimbangan terhadap kemelut yang menghantui orang Melayu di Malaysia pada masa ini dan menasihati semua pemimpin Melayu negara itu untuk bersama berbincang masalah bangsa dengan cara bermuafakat dan berlapang dada. 

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia: Kemelut orang Melayu membimbangkan; ia harus dibincang dengan muafakat dan lapang dada, tegas Sultan Johor

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. (Gambar: Facebook)

Diterbitkan : 23 Nov 2017 06:19PM Dikemas Kini : 23 Nov 2017 06:26PM

JOHOR BAHRU: Sultan Johor melahirkan kebimbangan terhadap kemelut yang menghantui orang Melayu di Malaysia pada masa ini dan menasihati  semua pemimpin Melayu negara itu untuk bersama berbincang masalah bangsa dengan cara bermuafakat  dan berlapang dada. 

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata demikian dalam  satu kenyataan yang dikeluarkan pejabat media  dan komunikasi rasmi keluarga diraja Johor bersempena Hari Keputeraan beliau yang ke-59, Rabu (22 Nov).

Menurut beliau, sebagai Raja yang telah berjanji dan berikrar untuk menjaga kepentingan orang Melayu dan agama Islam, beliau tidak akan membiarkan krisis perebutan kuasa antara pemimpin Melayu terus berlaku hingga membuatkan orang Melayu berpecah belah dan menjadi lemah.

"Dari hari ke sehari, orang Melayu terheret dengan krisis kredibiliti yang mencalar imej dan kepercayaan kepada institusi yang dipimpin oleh orang Melayu, yang akhirnya menyusutkan keyakinan, pengaruh dan kuasa sebenar orang Melayu.

Kekusutan sebegini membuatkan hati saya merasa bimbang, dan saya mengambil pendirian untuk mengingatkan orang Melayu supaya mencari penyelesaian dengan segera,”  tambah Sultan Ibrahim lagi.

Dalam kenyataan bertajuk "Pesanan Buat Orang Melayu Johor”, beliau  berharap kepentingan dan pengaruh orang Melayu dijaga sebaik-baiknya  tanpa sebarang kompromi dan dolak dalih, terutama di Johor yang dikatakan sebagai negeri yang menjadi benteng dan bermulanya perjuangan Melayu.

Sehubungan itu, beliau mengambil pendirian untuk mengingatkan orang Melayu supaya mencari penyelesaian segera sambil menyaksikan orang Melayu bangkit bersatu untuk menjadi bangsa yang besar dan berpengaruh, tanpa perlu menyinggung atau mengenepikan bangsa lain.

“Jangan hanya sibuk melaungkan tentang hak keistimewaan, tetapi sesama bangsa Melayu, hidup leka dan bersengketa.

Untuk itu, suka saya nasihatkan semua pemimpin Melayu supaya bermuafakat, duduk semeja dan berlapang dada untuk berbincang tentang masalah bangsa dan memberi fokus untuk meningkatkan maruah serta menjaga kepentingan orang Melayu,” tegas Sultan Ibrahim.

Beliau berharap pemimpin Melayu juga dapat  menunjukkan keikhlasan dalam perjuangan membela nasib orang Melayu dan bukannya mengambil segala kesempatan untuk kepentingan diri sendiri sahaja.

“Kembalikan rasa percaya dan rasa setia orang Melayu kepada para pemimpinnya. Saya yakin, dengan adanya perdamaian dan permuafakatan, segala masalah dan cabaran akan dapat diatasi demi mencapai tujuan sama untuk mengukuhkan kedudukan dan pengaruh orang Melayu,

Saya berharap semua pemimpin Melayu dan orang Melayu akan berusaha bersungguh-sungguh untuk kepentingan bangsa. Semoga usaha ini membuahkan manfaat besar kepada tanah air, dan untuk generasi kita yang akan datang,” tegasnya lagi.  

Sumber : Bernama/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan