Images
  • kl 2
    (Gambar: AFP)

M'sia haramkan pembakaran terbuka hingga Monsun Barat Daya berakhir

PUTRAJAYA: Seluruh Malaysia diisytiharkan sebagai kawasan larangan pembakaran terbuka kecuali pembakaran mayat, pembakaran bagi tujuan keagamaan, gril/barbeku dan pembakaran gas mudah terbakar (flaring) berkuat kuasa serta-merta sehingga Monsun Barat Daya berakhir.

Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling Norlin Jaafar mengeluarkan larangan itu menyusuli situasi jerebu yang melanda negara sejak 5 September sehingga kini.

Larangan tersebut adalah di bawah kuasa yang diperuntukkan kepada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling di bawah Seksyen 29AA (2), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, katanya dalam satu kenyataan hari ini (11 Sep).

"Semua pihak diminta tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja,” katanya.

Cik Norlin berkata mereka yang disabitkan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 (S$165,380) atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 (S$660) juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan, katanya.

Orang ramai diminta memberi kerjasama untuk memadamkan kebakaran kecil serta membuat laporan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Alam Sekitar bagi sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang dikesan, katanya.

LAPORAN BERKAITAN:

- BERNAMA/TQ/tq

Top