M'sia gantung import lembu, kerbau dari Thailand dek risiko penularan penyakit
Malaysia menggantung serta-merta pengimportan lembu dan kerbau dari Thailand selepas menilai risiko penularan penyakit Penyakit Kulit Berketul (LSD) yang dilaporkan menular di lebih 41 wilayah di negara itu.
PUTRAJAYA: Malaysia menggantung serta-merta pengimportan lembu dan kerbau dari Thailand selepas menilai risiko penularan penyakit Penyakit Kulit Berketul (LSD) yang dilaporkan menular di lebih 41 wilayah di negara itu.
Menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar, ketetapan tersebut diambil bagi membendung risiko penularan penyakit LSD dari Thailand demi kepentingan industri penternakan ruminan negara.
“Jabatan Perkhidmatan Veterinar menyeru semua pemain industri seperti pengimport, peraih dan penternak memberi kerjasama dengan membatalkan tempahan (sekiranya ada) dengan pihak pembekal lembu dan kerbau di Thailand,” menurut jabatan tersebut dalam kenyataan hari ini (8 Jun).
Jabatan itu turut menyatakan bahawa para pemain industri juga dinasihatkan supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa veterinar negeri serta daerah berdekatan sekiranya terdapat lembu dan kerbau di ladang atau kandang menunjukkan gejala jangkitan LSD untuk tindakan kawalan dan pencegahan.
“Walaupun penyakit LSD tidak zoonotik iaitu tidak menjangkiti manusia tetapi memberi kesan ekonomi kepada industri penternakan ruminan dan kerugian akibat penurunan berat badan, penurunan pengeluaran susu, keguguran dan kemandulan pada ternakan yang terjangkit,” katanya.
Sebagai usaha membanteras kemungkinan penyeludupan lembu dan kerbau dari Thailand, Jabatan Perkhidmatan Veterinar mendapatkan kerjasama pihak berkuasa Agensi Kawalan Sempadan untuk mempertingkatkan kawal selia di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.
Jabatan Kastam dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) pula akan mempertingkatkan pemeriksaan di pintu masuk negara bagi menghalang kemasukan lembu dan kerbau dari Thailand, katanya lagi.
Pada 2 Jun lalu, Pengarah Maqis Kedah P. Lily Rosalind dilaporkan sebagai berkata bahawa pihaknya telah mengesan penyakit LSD pada 42 ekor lembu yang diimport dari Thailand di stesen kuarantin dekat Bukit Kayu Hitam, Kedah.
Menurutnya, kesemua lembu itu adalah sebahagian daripada 1,434 ekor lembu yang diimport pada 26 April lalu dan menjalani tempoh kuarantin sebelum dibenarkan masuk ke negara ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.