Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia dijangka alami musim kering hingga Mei

Malaysia dijangka mengalami musim kering sehingga Mei ini dengan Johor, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Pahang dan Kelantan akan merekodkan hujan kurang daripada 25 peratus purata hujan tahunan bagi tempoh April-Mei ini.

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia dijangka alami musim kering hingga Mei

Gambar empangan mengeluarkan air (Gambar: Facebook/Xavier Jayakumar)

Diterbitkan : 23 Mar 2019 09:35PM Dikemas Kini : 23 Mar 2019 09:43PM

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka mengalami musim kering sehingga Mei ini dengan Johor, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Pahang dan Kelantan akan merekodkan hujan kurang daripada 25 peratus purata hujan tahunan bagi tempoh April-Mei ini.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar berkata situasi itu akan menyebabkan keadaan panas dan kering serta mengurangkan sumber air sungai dan empangan di negeri terbabit.

Setakat ini, dua lokasi tidak menerima hujan selama lebih 30 hari iaitu Hulu Perak di Perak (56 hari, tahap amaran) dan Setiu, Terengganu (31 hari, waspada), katanya dalam kenyataan hari ini (23 Mac).

Menurutnya tujuh lokasi menerima hujan kumulatif lebih rendah berbanding rekod hujan semasa fenomena El Nino (2015-2016) atau pada tahap bahaya bagi tempoh Januari -Mac iaitu Padang Terap (Kedah), Cameron Highlands dan Kuantan (Pahang), serta Dungun, Hulu Terengganu, Kemaman dan Kuala Terengganu (Terengganu).

Sementara itu, beliau berkata empat lokasi lagi pada tahap amaran iaitu Rembau dan Tampin (Negeri Sembilan), Rompin (Pahang) dan Hulu Perak, Perak.
Dr Xavier berkata tiga lembangan dijangka memerlukan tambahan bekalan air daripada empangan sedia ada iaitu Lembangan Sungai Muda (Empangan Beris), Lembangan Sungai Kedah (Empangan Muda, Pedu dan Ahning), serta Lembangan Sungai Melaka (Empangan Jus).

Keadaan itu katanya disebabkan aktiviti penanaman padi yang sedang giat dijalankan sehingga April ini.
“Jabatan Pengairan dan Saliran mencadangkan kepada pihak berkuasa negeri agar mengambil tindakan membuat pelepasan air secara terkawal daripada empangan terlibat,” katanya.

Mengenai storan empangan, Dr Xavier berkata tiga empangan merekodkan storan kapasiti dalam lingkungan 50 peratus iaitu Empangan Muda di Kedah (58.97 peratus) serta dua empangan di Johor iaitu Machap (55.61 peratus) dan Sembrong (54.07 peratus).

Mengambil kira senario semasa, beliau menasihati agar penyaluran air kepada pengguna baik dari segi keperluan harian, industri dan pertanian, khususnya penanaman padi, perlu dikawal. 

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan