Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia catat jumlah tertinggi kes pulih COVID-19; penularan baru kekal 3 angka

Walaupun kes baru COVID-19 masih mencatatkan angka membimbangkan iaitu 589, namun khabar gembiranya ialah 409 kes sembuh dicatatkan iaitu jumlah kes pulih tertinggi pernah direkodkan di Malaysia.

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia catat jumlah tertinggi kes pulih COVID-19; penularan baru kekal 3 angka

Suasana di Kuala Lumpur selepas berlakunya COVID-19. (Gambar fail: Reuters)

Diterbitkan : 15 Oct 2020 07:33PM Dikemas Kini : 15 Oct 2020 07:34PM

KUALA LUMPUR: Walaupun kes baru COVID-19 masih mencatatkan angka membimbangkan iaitu 589, namun khabar gembiranya ialah 409 kes sembuh dicatatkan iaitu jumlah kes pulih tertinggi pernah direkodkan di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah ketika memperincikan perkara itu berkata, ini menjadikan jumlah kes sembuh sebanyak 12,014 kes atau 66.3 peratus daripada keseluruhan kes.

Mengulas lanjut mengenai kes baru, Dr Noor Hisham berkata daripada 589 kes baru, 586 kes merupakan penularan tempatan manakala bakinya tiga kes import dibawa daripada individu yang pulang dari Indonesia sebanyak dua kes dan satu kes dari Ukraine.

"Daripada penularan tempatan pula, 453 kes adalah warga Malaysia dan 133 kes adalah bukan warga tempatan dengan Sabah masih mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 304 kes atau 51.6 peratus," katanya dalam sidang media secara maya menerusi Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini (15 Okt).

Dengan perkembangan ini katanya, jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia melepasi angka 18,000 iaitu 18,129 dengan kes aktif kebolehjangkitan 5,945 kes.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) berkurangan kepada 103 kes dengan kes memerlukan bantuan pernafasan juga menurun kepada 31 kes.

3 KEMATIAN DICATATKAN, ANGKA KORBAN KINI 170

Terdapat pertambahan tiga kes kematian yang semuanya melibatkan kes di Sabah, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kepada 170 kes atau 0.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes dan pertambahan empat lagi kluster baru.

“Kes kematian ke-168 melibatkan wanita warga tempatan berusia 54 tahun di Hospital Queen Elizabeth yang mempunyai sejarah darah tinggi, kencing manis dan penyakit jantung serta pesakit kelenjar tiroid," katanya.

Kes kematian 169 pula melibatkan seorang lelaki bukan warga berusia 68 tahun dari Hospital Tawau yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis dan kematian ke-170 pula melibatkan wanita bukan warga tempatan berusia 100 tahun yang dirawat di Hospital Duchess of Kent (Sandakan).

Sementara itu dalam perincian kes baru mengikut negeri hari ini, Sabah mencatat angka tertinggi iaitu 304 kes, diikuti Selangor (150 kes), Perak (52 kes), Kedah (31 kes), Pulau Pinang (16 kes), Negeri Sembilan (11 kes), Kuala Lumpur (sembilan kes), Labuan (enam kes), Sarawak, Melaka dan Kelantan masing-masing dua kes dan Putrajaya mencatat satu kes.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan