Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia catat 2,936 kes baru COVID-19, lagi 13 kematian

Sebanyak 2,936 kes baru COVID-19 dicatat pada Jumaat (19 Feb) di Malaysia, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 sebanyak 277,811 setakat ini, selain 13 lagi kematian dilaporkan akibat pandemik itu dalam tempoh 24 jam lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia catat 2,936 kes baru COVID-19, lagi 13 kematian

Orang ramai di M'sia memakai pelitup di tengah COVID-19 (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 19 Feb 2021 10:03PM Dikemas Kini : 19 Feb 2021 10:06PM

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,936 kes baru COVID-19 dicatat pada Jumaat (19 Feb) di Malaysia, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 sebanyak 277,811 setakat ini, selain 13 lagi kematian dilaporkan akibat pandemik itu dalam tempoh 24 jam lalu.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, kes sembuh harian pula terus mencatatkan jumlah lebih tinggi berbanding kes positif harian iaitu 4,889 kes hari ini menjadikan jumlah sembuh keseluruhan hingga kini sebanyak 239,971 kes.

Katanya kes aktif pula setakat ini ialah sebanyak 36,797 kes.

Daripada jumlah kes baru harian itu, 17 merupakan kes import melibatkan empat warganegara dan 13 warga asing, katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Selangor, katanya terus mencatatkan kes harian baru tertinggi, iaitu sebanyak 978 kes dengan 722 melibatkan kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19.

Ini diikuti Johor sebanyak 730 kes, Kuala Lumpur (227), Sarawak (199), Negeri Sembilan (191), Pulau Pinang (188), Perak (155), Sabah (101), Kelantan (38), Terengganu (37), Kedah (36), Melaka dan Pahang masing-masing 26 kes, Putrajaya (3) dan Labuan (1)

Mengenai 13 kematian yang dilaporkan hari ini, Dr Noor Hisham berkata enam kes di Kuala Lumpur, Selangor (3), Sarawak (2) serta masing-masing satu kes di Melaka dan Johor, dengan lingkungan umur 53 hingga 84 tahun.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 13 kluster baru dikenal pasti hari ini dengan 10 daripadanya berkaitan tempat kerja, dua melibatkan komuniti dan satu membabitkan kumpulan berisiko tinggi, menjadikan jumlah kluster aktif kini sebanyak 511.

Katanya daripada 10 kluster baru di tempat kerja, lima dikesan di Johor iaitu Jalan Kota Murni, Jalan Murni 12, Jalan Tun Mutahir, Jalan Indah Utama dan Parit Haji Khamis; dua di Selangor (Kompleks Perabut dan Jalan Sementa) dan masing-masing satu di Sabah (Singgahmata), Sarawak (Kejatau) serta Kuala Lumpur (Jalan Kuchai).

Kluster komuniti pula ialah Jalan Green di Sarawak dan Bukit Petiti di Terengganu, manakala kluster kumpulan berisiko tinggi dikesan di Terengganu iaitu Kluster Kubang Jambu.

Dr Noor Hisham berkata 109 kluster mencatatkan pertambahan kes baru hari ini dengan Kluster Jalan Murni 12 merekodkan jumlah tertinggi sebanyak 339 kes, diikuti Kluster Jalan Perindustrian Pelepas (179) dan Kluster Industri Tekstil Nilai (113).

Katanya sebanyak 547 kluster dilaporkan tamat setakat ini termasuk lapan pada hari ini iaitu Kluster Halban, Kluster Tombovo, Kluster Kauran, Kluster Kubang Bujuk, Kluster Tapak Bina Jalan Yap, Kluster Jalan Perwira, Kluster Jalan Indah Gemilang dan Kluster Tembok Nanas. 

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan