Images
  • malaysia skyline
    Gambar fail Kuala Lumpur. (Gambar: AFP) 

M'sia catat 1,300 kes baru COVID-19, 5 lagi korban jiwa

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,300 kes baru COVID-19 dengan lima kematian direkodkan di Malaysia pada Selasa (6 Apr), kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau menerusi hantaran di laman media sosial Twitter rasmi memaklumkan bahawa daripada jumlah berkenaan, 1,276 kes membabitkan penularan tempatan, manakala 24 kes merupakan kes import.

Perkembangan terbaru itu menjadikan kes terkumpul positif COVID-19 di Malaysia berjumlah 353,329 dengan kes aktif 14,161.

Tiga negeri mencatatkan kes baru COVID tertinggi iaitu Sarawak dengan 385 kes, diikuti Selangor (242) dan Kelantan (126).

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 1,412 kes sembuh harian dicatatkan, manakala sebanyak 189 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 88 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Sementara itu dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19,  Dr Noor Hisham berkata 10 kluster baru dikenal pasti, melibatkan lima kluster tempat kerja, tiga kluster masyarakat, serta masing-masing satu kluster pusat tahanan dan kluster keagamaan.

Kluster tempat kerja membabitkan Kluster Integrasi Rawang Tiga dan Kluster Jalan Badli Shah di Selangor, Kluster Jalan Maju (Sarawak), Kluster Jalan Kota Kubang Labu (Kelantan) dan Kluster Jalan Mega Industri (Johor).

Kluster masyarakat pula adalah Kluster Kampung Palekbang di Kelantan, Kluster Taman Peruda (Kedah) dan Kluster Kampung Belaoh (Terengganu).

Selain itu kluster pusat tahanan melibatkan Kluster Padang Hijau di Johor serta kluster keagamaan iaitu Kluster Belacon di Sabah.

- BERNAMA/TQ/tq

Top