Images
  • malaysia covid-19

M'sia catat 1,041 kes baru COVID-19, lagi 3 kematian

KUALA LUMPUR: Malaysia pada Sabtu (21 Nov) mencatatkan 1,041 kes baru COVID-19, menjadikan jumlah kes positif dalam negara sebanyak 53,679 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya ia menjadikan bilangan kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 12,854 kes, manakala jumlah kes pulih hari ini adalah 1,405 kes menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 40,493.

Beliau berkata daripada 1,041 kes baru hari ini, sebanyak 1,039 kes adalah penularan dalam negara manakala bakinya adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Katanya tiga negeri yang mencatatkan kes tertinggi hari ini adalah Selangor dengan 402 kes (38.6 peratus), diikuti Sabah 346 kes (33.2 peratus) dan Negeri Sembilan 121 kes (11.6 peratus).

“Pelaporan kes positif COVID-19 yang tinggi di Selangor berpunca daripada pertambahan kes bagi Kluster Teratai iaitu sebanyak 298 kes (74.1 peratus),” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19.

Tiga kematian disebabkan oleh COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di negara itu sebanyak 332 kes atau 0.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham berkata semua kematian berkenaan direkodkan di Sabah iaitu satu kes masing-masing dilaporkan di Hospital Queen Elizabeth, Hospital Lahad Datu dan Hospital Keningau.

- BERNAMA/TQ/tq

Top