Images
  • mahathir (5)
    Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad. (Gambar: Bernama)

M'sia bukan lagi negara demokrasi jika raja dianggap penentu mutlak, tegas Mahathir

KUALA LUMPUR: Jika raja-raja dianggap memiliki kuasa untuk memilih Perdana Menteri dan Menteri Besar, Malaysia tidak boleh lagi dikira sebagai negara demokrasi.

Demikian kata Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad, lapor Malaysiakini pada Rabu (10 Apr).

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang bertitah agar "pihak-pihak tertentu" berhenti mencampuri urusan negeri itu.

"Saya berpendapat kalau kita anggap yang akan memilih perdana menteri dan menteri besar ialah raja, kita sudah tidak jadi negara demokratik lagi," kata Dr Mahathir semasa sidang media di Parlimen pada Rabu.

Beliau berkata rakyat memilih parti dalam pilihan raya umum dan parti seterusnya mempunyai hak untuk melantik Menteri Besar.

"...Tetapi (apabila) hak ini dinafikan, maka kita bukan (lagi) demokrasi. Kita sudah jadi negara (dengan sistem) raja berkuasa mutlak," katanya lagi.

Dalam kenyataan yang disiarkan di Facebook pada Rabu, Sultan Ibrahim juga menyarankan "pihak tertentu" berkenaan menumpukan usaha menjaga negara.

“Berkenaan Johor, jangan sibuk mencampuri urusan negeri ini kerana negeri yang berdaulat ini masih mempunyai seorang sultan," titahnya.

Meskipun Sultan Ibrahim tidak merujuk kepada mana-mana isu secara khusus, dipercayai beliau mengulas peletakan jawatan Osman Sapian sebagai Menteri Besar serta kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan berkenaan penggantinya.

Dr Mahathir mengesahkan peletakan jawatan Osman pada Selasa (9 Apr) sambil berkata bahawa Bersatu sedang menimbangkan beberapa nama untuk mengambil alih jawatan itu, lapor Malaysiakini.

BUKAN RAJA BERKUASA MUTLAK

Sementara itu, Dr Mahathir turut menegaskan agar Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan bukannya raja berkuasa mutlak.

"Di waktu kita membentuk Persekutuan Tanah Melayu, kita memperkenal Perlembagaan Persekutuan dan di dalamnya dinyatakan bahawa Persekutuan Tanah Melayu dan negeri-negeri dalam persekutuan ini mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, bukan raja berkuasa mutlak.

"Kalau masih ada undang-undang perlembagaan Johor, ia terbatal kerana Johor juga bersetuju dengan sistem pemerintahan di negara kita ini," tambah Dr Mahathir.

Dengan nada penuh sindiran, beliau mengusulkan diadakan perbahasan sama ada untuk meneruskan sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia - yang mana Raja-Raja Melayu hanya bertindak atas nasihat Perdana Menteri di peringkat persekutuan dan Menteri Besar di peringkat negeri.

"Jika kita hapuskan (sistem) itu, maka kita tak perlu adakan pilihan raya lagi," katanya.

Semalam, Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata kuasa memilih Menteri Besar adalah hak mutlak sultan.

Jawatankuasa Eksekutif Kerajaan Johor dari Bersatu, Sahruddin Jamal, dinamakan sebagai calon utama untuk menggantikan Osman.

- Agensi berita/FZ/fz

Top