Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia batalkan semua saman trafik AES sejak 2012

Semua saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dikeluarkan sejak 2012 sudah dibatalkan. Ini diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook, pada Jumaat (17 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia batalkan semua saman trafik AES sejak 2012

Gambar fail jalan raya di Kuala Lumpur. (Gambar: Saeed Khan/AFP)

Diterbitkan : 17 Aug 2018 10:51PM Dikemas Kini : 17 Aug 2018 10:54PM

PUTRAJAYA: Semua saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dikeluarkan sejak 2012 sudah dibatalkan. Ini diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook, pada Jumaat (17 Ogos).

Pembatalan itu pula melibatkan 3.1 juta saman dengan nilai bayaran kira-kira RM435 juta (S$145.50 juta).

"Kerajaan juga bersetuju tidak akan menyambung kontrak syarikat pengendali AES yang akan tamat hujung bulan ini," kata Encik Loke semasa satu sidang media sambil menambah bahawa pelaksanaan dan penguatkuasaan AES diambil alih sepenuhnya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), mulai 1 September ini.

Encik Loke berkata pembatalan itu adalah bersifat 'one-off' atau sekali sahaja, iaitu kerajaan tidak akan lagi memberi sebarang diskaun terhadap saman AES sepanjang penggal pemerintahan Pakatan Harapan.

Beliau berkata daripada jumlah saman yang dikeluarkan, hanya 18 peratus daripada mereka yang disaman sudah tampil membuat bayaran dengan kutipan tidak lebih RM700,000 (S$234,160).

Menyentuh mengenai kemungkinan berlakunya penambahan kos operasi kepada JPJ menyusuli pengambil alihan itu, Encik Loke berkata perkara itu tidak dapat dielakkan.

"Tetapi kita kena ingat, bayaran saman yang dikutip selepas ini akan masuk ke dalam akaun kerajaan berbanding yang dilaksanakan syarikat konsesi sebelum ini," katanya.

Beliau turut berkata pihaknya akan berbincang dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) bagi menentukan bahawa hanya lokasi yang benar-benar diklasifikasikan sebagai kawasan kemalangan akan dilengkapi dengan kamera pengawasan itu.

"Kita juga belum dapat menentukan mengenai bilangan kamera AES yang akan dipasang, sama ada 1,000 buah seperti ditetapkan pengendali sebelum ini atau kurang daripada itu," katanya.  

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan