Images
  • uighur thailand
    Tahanan-tahanan itu meloloskan diri dengan mengorek lubang di dinding penjara (Gambar: REUTERS). 

M'sia bantu kesan saki baki tahanan Uighur yang larikan diri

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia menjalin kerjasama dengan Polis ASEAN (Aseanapol) dan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengesan saki baki tahanan etnik Uighur yang meloloskan diri dari Pusat Tahanan Imigresen Sadao,Thailand awal pagi Isnin (20 Nov).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata PDRM sedia berkongsi maklumat risikan dengan pihak keselamatan Thailand untuk membolehkan semua tahanan terbabit ditahan semula.

"Kita (PDRM) akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Thailand, Aseanapol dan Interpol khasnya dalam perkongsian maklumat risikan berkaitan kes itu," katanya kepada pemberita selepas  merasmikan Sidang Puncak Menangani Pembiayaan Pengganas 2017.

Sejurus kejadian itu, Thailand memohon kerjasama Malaysia untuk mengesan tahanan Uighur berkenaan yang meloloskan diri dari  Pusat Tahanan Imigresen Sadao berhampiran sempadan Malaysia-Thailand. 

Menurut Timbalan Perdana Menteri Thailand Jen Prawit Wongsuwan, lima daripada 20 etnik Uighur yang melepaskan diri itu ditahan semula manakala baki tahanan dipercayai merentasi sempadan untuk memasuki Malaysia.

Dalam insiden jam 2.00 pagi (waktu tempatan), 20 etnik Uighur Muslim, China yang menunggu untuk dihantar pulang ke negara asal mereka meloloskan diri dari pusat tahanan  itu. 

Buat masa ini kira-kira 200 etnik Uighur sedang ditahan di pusat-pusat imigresen Thailand bagi menunggu dihantar pulang selepas Beijing mendesak mereka dihantar pulang.

- BERNAMA/FA/sm

Top