Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia bakal beri suntikan vaksin kepada pendatang asing; cegah wabak berjangkit tular

Malaysia bakal memberikan suntikan vaksin kepada pendatang asing di negaranya sebagai usaha mencegah penularan wabak penyakit berjangkit.

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia bakal beri suntikan vaksin kepada pendatang asing; cegah wabak berjangkit tular

Gambar fail jarum suntikan (Gambar: AFP/Schneyder Mendoza)

Diterbitkan : 14 Dec 2019 05:19PM Dikemas Kini : 14 Dec 2019 05:22PM

KUALA LUMPUR: Malaysia bakal memberikan suntikan vaksin kepada pendatang asing di negaranya sebagai usaha mencegah penularan wabak penyakit berjangkit.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kementerian Kesihatan akan mendapatkan kerjasama daripada Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bagi memperoleh bekalan vaksin untuk diberikan kepada pendatang asing.

Beliau berkata kementerian juga akan cuba mendapatkan kerjasama daripada pemerintah Filipina untuk mendapatkan vaksin memandangkan negara itu memperolehi bekalan vaksin yang lebih murah.

"Satu kerjasama antara Malaysia dengan Filipina (akan diwujudkan) sebab kita di Malaysia tidak diberi (dibekalkan) vaksin yang murah tetapi Filipina, mereka dapat harga yang murah. Kami akan cuba peroleh (vaksin) menggunakan negara Filipina untuk diberi kepada pendatang asing.

"Kementerian juga akan bekerjasama dengan UNICEF untuk mendapatkan vaksin yang disubsidikan kepada pendatang asing,” ujar beliau kepada wartawan pada Sabtu (14 Dis).

Menurut Dr Noor Hisham, kira-kira 20 hingga 30 peratus pendatang asing khususnya di Sabah dan Sarawak keluar masuk negara itu tanpa saringan dan perkara tersebut menjadi keprihatinan pihaknya jika golongan berkenaan tidak mendapatkan vaksin.

Minggu lalu, media melaporkan seorang bayi lelaki berusia tiga bulan dari Tuaran, Sabah, dijangkiti virus polio iaitu kes pertama selepas 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit itu.

Bayi tersebut dilapor mengalami demam diikuti lemah anggota badan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital sebelum disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1) pada Jumaat lalu.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham mengharapkan wujudnya kesedaran dalam kalangan ibu bapa tentang pentingnya mengambil suntikan vaksin sebelum pihaknya melaksanakan tindakan mewajibkan pengambilan vaksin.

"Kita kena galakkan dan beri pendidikan kesihatan kepada ibu bapa," tekan beliau. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan