Images
  • tattoo
    Hasil rekaan seorang pelukis tatu di Ekspo Tatu Malaysia Antarabangsa di Kuala Lumpur pada 29 Nov 2019. (Gambar: Mohd RASFAN/AFP)

M'sia arah siasat pertunjukan tatu separuh bogel

KUALA LUMPUR: Malaysia mengarahkan satu siasatan pada Isnin (2 Dis) ke atas satu pertunjukan tatu separuh bogel yang diadakan di ibu kota Kuala Lumpur. Ini setelah beberapa gambar lelaki dan wanita yang bertatu dan separuh bogel tersebar luas di wadah media sosial negara itu.

Ekspo Tatu Malaysia selama tiga hari itu, bermula pada Jumaat (29 Nov) dan menarik peserta daripada 35 negara. Ia disokong Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, menurut penganjur acara di laman webnya.

Kementerian tersebut, bagaimanapun, menyatakan bahawa acara tahun ini melanggar piawaiannya buat pertama kali sejak ia mula diadakan pada 2015 dan berikrar untuk mengambil "tindakan tegas" terhadap pihak penganjur.

Gambar-gambar yang dipaparkan di media Malaysia mengaburkan bahagian sulit lelaki dan wanita dalam pertunjukan tersebut.

"Adalah mustahil pihak kementerian meluluskan sebarang permohonan bagi acara yang mempunyai ciri-ciri lucah seperti ini kerana ia bukan budaya Malaysia, apatah lagi majoriti rakyat Malaysia adalah orang Islam," kata Encik Mohamaddin Ketapi, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dalam satu kenyataan.

"Kami akan tunggu laporan siasatan penuh dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika mereka didapati melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan."

Salah seorang penganjur acara, Encik Carlos Benny Majakil, memberitahu Reuters beliau tiada sebarang komen berhubung isu ini. 

- REUTERS/FZ/fz

Top