Images
  • AstraZeneca (1)
    Bebuli vaksin COVID-19 AstraZeneca. (Gambar: REUTERS/Yves Herman/File Photo)

M'sia akan tunggu laporan EMA sebelum putuskan kegunaan vaksin Astrazeneca

KUALA LUMPUR: Malaysia akan memutuskan sama ada akan meneruskan penggunaan vaksin AstraZeneca bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan selepas menerima hasil dapatan Agensi Perubatan Eropah (EMA) mengenai vaksin tersebut.

Menteri Penyelaras bagi program imunisasi Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata laporan oleh agensi Kesatuan Eropah (EU) itu akan menentukan sama ada penggunaan vaksin itu ada kaitan dengan pembekuan darah (thrombosis).

“Kami akan menentukan sama ada untuk meneruskannya atau kami meneruskannya (tetapi) dengan berhati-hati,” katanya semasa webinar Penjagaan Kesihatan ASEAN 2021 secara maya anjuran CARI ASEAN Research and Advocacy dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN pada Rabu (7 Apr).

Encik Khairy, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata Malaysia masih mempunyai masa untuk membuat keputusan memandangkan vaksin AstraZeneca datang dari kemudahan COVAX hanya pada bulan depan.

Beliau berkata isu penggunaan vaksin AstraZeneca turut dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV), semalam.

Menurut catatan Twitter EMA, taklimat media mengenai kesimpulan oleh Jawatankuasa Keselamatan EMA berhubung kajian semula kaitan AstraZeneca dengan darah beku dijadualkan pada pukul 4.00 petang waktu Eropah Tengah (CET) semalam atau jam 10.00 malam waktu Malaysia.

Dalam pada itu, Encik Khairy berkata 80 peratus vaksin dibekalkan ke Malaysia telah diberikan kepada rakyat dan usaha perlu dipertingkatkan pada Jun sekiranya negara itu mahu mencapai sasaran imunisasi 80 peratus rakyat Malaysia menjelang Disember ini.

Apabila ditanya sama ada pengamal media dianggap sebagai barisan hadapan dalam program vaksinasi, kata Encik Khairy, mereka akan dimasukkan ke dalam senarai itu tidak lama lagi dengan beberapa slot ditawarkan bagi setiap organisasi media.

“Kami menerima rayuan daripada orang ramai untuk dikategorikan sebagai anggota barisan hadapan dan kami telah meluluskan anggota penguat kuasa Kementerrian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan media juga akan disenaraikan,” katanya.

- BERNAMA/NA/na

Top