Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia akan langkah ke Fasa 2 jika purata kes COVID-19 susut bawah 4,000 tujuh hari berturut-turut

Purata kes harian COVID-19 di Malaysia perlu berada di bawah 4,000 kes selama tujuh hari berturut-turut bagi membolehkan negara itu beralih ke fasa kedua mengikut Pelan Pemulihan Negara.

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia akan langkah ke Fasa 2 jika purata kes COVID-19 susut bawah 4,000 tujuh hari berturut-turut

Seorang warga Malaysia menerima suntikan vaksin COVID-19. (Gambar fail: REUTERS)

Diterbitkan : 19 Jun 2021 09:53AM Dikemas Kini : 19 Jun 2021 09:54AM

KUALA LUMPUR: Purata kes harian COVID-19 di Malaysia perlu berada di bawah 4,000 kes selama tujuh hari berturut-turut bagi membolehkan negara itu beralih ke fasa kedua mengikut Pelan Pemulihan Negara.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata selain itu kapasiti katil di unit jagaan rapi (ICU) juga perlu mencapai paras 75 peratus ke bawah di samping 10 peratus populasi yang telah divaksin.

"Hari ini, Alhamdulillah, vaksinasi sudah melebihi 10 peratus iaitu 11 peratus, dan dengan adanya pendekatan nilai ambang ini, kita boleh bergerak ke fasa dua, tiga dan empat," katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, pada Jumaat malam (18 Jun).

Pelan Pemulihan Negara yang merangkumi empat fasa adalah strategi peralihan keluar daripada kemelut pandemik COVID-19 bagi mengembalikan penghidupan harian biasa menjelang akhir tahun ini.

Ia bersandarkan tiga indikator iaitu keadaan penularan COVID-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian, keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di ICU dan indikator ketiga adalah tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Dr Adham berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 merupakan kaedah intervensi untuk mencapai sasaran pelan berkenaan.

"Kita ada satu unjuran model SEIR (Susceptible-Exposed-Infectious-Removed), dan dalam Pelan Pemulihan Negara kita lihat kepada nilai RT (kadar kebolehjangkitan). Kalau sebelum ini nilai RT masih pada 1.2, mengikut unjuran SEIR kita mungkin akan ada 13,000 kes (COVID-19)… tetapi disebabkan PKP 3.0, kita dapat intervensi sehingga unjuran SEIR di bawah 1 iaitu 0.9.

"Ini memerlukan tekad kuat iaitu memerangi COVID-19 dengan tindakan kesihatan awam, vaksinasi dan solidariti rakyat kerana kita bukan sahaja berdepan dengan virus seperti dulu tetapi ada juga varian baharu," katanya.

Sementara itu, Dr Adham berkata kerajaan mempunyai pelan untuk membolehkan golongan berumur 12 tahun ke atas mengambil vaksin namun perlu memastikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan diselesaikan terlebih dahulu.

"Pihak pengeluar vaksin Pfizer telah kemukakan yang boleh beri vaksin kepada umur 12 tahun ke atas...kita kena ada data daripada Pfizer yang meyakinkan, dan keduanya, kita perlu dahulukan mereka yang mengambil peperiksaan iaitu tingkatan lima dan enam. Itu hanya berlaku selepas kita selesaikan program imunisasi kebangsaan," katanya. 

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan