Images
  • firefly
    Gambar fail pesawat Firefly. 

M'sia akan buat keputusan berhubung penerbangan Firefly ke S'pura 'tidak lama lagi'

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia akan membuat pengumuman rasmi tidak lama lagi mengenai penggantungan perkhidmatan penerbangan Firefly ke Singapura sejak Disember tahun lalu, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada Ahad (31 Mac).

Beliau berkata pihaknya masih dalam proses memuktamadkan butiran mengenai perkara itu.

Firefly, anak syarikat Malaysia Airlines, menggantung penerbangan ke Singapura bermula 1 Disember lalu sehingga pihak berkuasa menyelesaikan perkara berkaitan dengan rancangan pihak berkuasa Singapura untuk memindahkan operasi pesawat turbo-prop dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi ke Seletar.

"Kami harap syarikat penerbangan itu boleh menyambung semula perkhidmatan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kad Diskaun Xtra20 Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter oleh Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, semalam (31 Mac).

Sebelum ini, Firefly mengadakan 20 penerbangan ke Singapura dari Subang, Ipoh dan Kuantan.

- BERNAMA/NA/na

Top