Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lori tergelincir ke landasan kira-kira seminit sebelum nahas kereta api Taiwan

Lori tergelincir ke landasan kira-kira seminit sebelum nahas kereta api Taiwan.

Anggaran Waktu Membaca:
Lori tergelincir ke landasan kira-kira seminit sebelum nahas kereta api Taiwan

Gerabak kerata api yang remuk menyusuli nahas pada 6 April 2021. (Gambar: Reuters/Ann Wang)

Diterbitkan : 07 Apr 2021 03:35PM Dikemas Kini : 07 Apr 2021 03:37PM

TAIPEI: Sebuah lori yang terlibat dalam nahas kereta api laju pada minggu lalu dan menyebabkan 50 orang terkorban, tergelincir ke atas landasan hanya sekitar satu minit sebelum kemalangan itu berlaku.

Demikian menurut pemerintah pada Selasa (6 Apr), sedang ia mendedahkan rakaman video yang menunjukkan kesan nahas tersebut.

Kereta api yang penuh membawa hampir 500 penumpang dan kru itu bertembung dengan lori tersebut berdekatan bandar timur Hualien pada Jumaat (2 Apr), menyebabkannya tergelincir dan bahagian depan dan tengahnya remuk.

Ini merupakan nahas kereta api paling teruk di pulau itu dalam tempoh tujuh dekad.

Lori itu tergelincir dari sebuah tapak binaan ke sebatang jalan raya bercerun langsung ke atas landasan di luar terowong tersebut.

Para pegawai mengesyaki brek lori itu tidak ditekan dengan betul dan sedang menjalankan siasatan ke atas pengurus tapak binaan tersebut.

Pengurus Lembaga Keselamatan Pengangkutan Taiwan, Young Hong-tsu, berkata mereka sudah mengenal pasti bagaimana lori itu boleh berada di landasan, dengan menjejaki pergerakannya semasa di atas jalan raya sebelum ia tergelincir daripada benteng jalan raya dan terhenti di atas landasan kereta api.

Encik Young menunjukkan rakaman yang diperolehi daripada kabin pemandu sedang pemandu itu cuba sedaya upaya untuk memperlahankan kereta api sebelum bertembung dengan lori di gerbang terowong, menyebabkannya tergelincir.

"Berapa lama tempoh antara waktu lori tergelincir ke atas landasan dan ia bertembung dengan kereta api laju Taroko? Sebenarnya hanya sedikit lebih daripada satu minit," kata beliau, merujuk kepada nama kereta api tersebut.

Encik Young berkata pemandu itu tidak mempunyai masa untuk memperlahankan kereta api dengan betul dan mengelak kemalangan kerana beliau hanya mempunyai beberapa saat untuk bertindak, memandangkan lori itu berada di selekoh dan tidak kelihatan sehingga sudah terlambat.

Para mangsa nahas tersebut termasuk dua warga Amerika dan seorang warga Perancis.

Encik Young berkata pihak berkuasa Taiwan sudah menghubungi Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat dan badan keselamatan pengangkutan Perancis sekiranya mereka mahu membantu siasatan.

Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan