Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

"Lori sapu semua kereta, mayat kanak-kanak bergelimpangan," kata saksi

"Kami tak boleh buat apa, saya cuma bantu beri payung pada seorang lelaki di situ untuk payungkan jenazah. Sebaknya hati saya, hanya Tuhan saja yang tahu.' - saksi

Anggaran Waktu Membaca:
"Lori sapu semua kereta, mayat kanak-kanak bergelimpangan," kata saksi

Lokasi kemalangan yang berlaku di Lenggong, Perak, 10 Dis. (Gambar: Info Kemalangan & Bencana Malaysia/Facebook)

Diterbitkan : 11 Dec 2017 09:41AM Dikemas Kini : 11 Dec 2017 09:48AM

GERIK, Perak: "Lori 'sapu' semua kereta di jalan, pakaian dan mayat bergelimpangan."

Itu merupakan pengalaman tragis seorang saksi kemalangan yang dikenali sebagai Syahira, 26 tahun, dalam kejadian ngeri yang mengorbankan tiga beradik berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong pada pagi semalam (10 Dis).

Katanya, sebaik sahaja tiba di lokasi, dia tidak dapat menahan sebak melihat pakaian bertaburan di atas jalan raya disebabkan kemalangan itu, lapor Astro Awani.

Menurutnya, lebih meruntun hatinya apabila melihat sekujur tubuh kanak-kanak terbaring kaku di atas jalan raya berhampiran kereta keluarganya yang remuk.

"Kami tak boleh buat apa, saya cuma bantu beri payung pada seorang lelaki di situ untuk payungkan jenazah. Sebaknya hati saya, hanya Tuhan saja yang tahu, hampir menitis air mata.

"Saya sampai di situ kira-kira 10 minit selepas kejadian, memang keadaan sangat berterabur. Lori itu 'sapu' semua kereta yang berhenti di lampu isyarat, ada kereta yang tercampak dalam longkang juga," katanya, kepada Astro Awani.

Tambahnya, seorang lelaki di situ memberitahu lori treler itu dipandu laju dan dilihat memotong beberapa kenderaan sebelum terlibat dalam kemalangan meragut tiga nyawa itu.

"Kalau tengok pada gaya pemandu lori itu, dia memang kelihatan seperti memandu laju, tapi saya tak berani cakap, yang saya pasti, memang ramai akan marahkan pemandu lori itu.

"Katanya brek dan 'clutch' lori rosak, itu yang tak sempat brek. Sebenarnya, saya tertinggal barang di rumah sebelum bergerak ke sini dan lewat kira-kira 10 minit sebelum mula bertolak.

"Kalau saya bertolak mengikut jadual dan tiada barang tertinggal, mungkin sayalah yang menjadi mangsa, bukan mereka. Ajal maut semuanya di tangan Tuhan," katanya.

Dalam kemalangan ngeri itu, enam beranak yang sedang dalam perjalanan dari Terengganu dalam kenderaan Honda dirempuh oleh sebuah lori muatan ikan dan menyebabkan tiga beradik termasuk sepasang kembar meninggal dunia di lokasi kejadian.

Sementara itu, ibu bapa mangsa mengalami kecederaan parah dan dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut.

Insiden berkenaan turut melibatkan tiga lagi kenderaan manakala pemandu dan kelindan lori tidak mengalami sebarang kecederaan, lapor Astro Awani.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superitendan Ismail Che Isa mengesahkan pemandu lori berusia 24 tahun itu sudah dipanggil bagi siasatan.

"Kita akan mengambil keterangan pemandu dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.

Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan