Images
  • loji air
    (Gambar: Bernama)

Loji rawatan air Johor alami kemerosotan susuli cuaca panas, kering

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor mengambil langkah berjaga-jaga sekali gus memantau beberapa muka sauk di Loji Rawatan Air (LRA) di negeri itu yang dikesan mengalami kemerosotan air ekoran cuaca panas dan kering sejak awal bulan lalu.

Muka sauk ialah bangunan yang dibina di tebing sungai di mana pam jenis tenggelam yang dipasang padanya akan mengepam air mentah ke loji air. Ia adalah proses pertama bagi rawatan air.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse, berkata fenomena cuaca kering yang melanda negara tersebut mengakibatkan tahap simpanan air mentah merosot. Keadaan ini boleh menyebabkan beberapa loji rawatan air di negeri itu tidak dapat beroperasi pada kadar normal.

Beliau berkata, buat masa ini, sumber air mentah yang diterima di 44 LRA beroperasi seperti biasa. Namun, sebahagian muka sauk mengalami sedikit penyusutan dan berkemungkinan mengalami kekurangan sumber sekiranya berlarutan bagi tempoh lama.

Encik Puah berkata LRA Lok Heng di Kota Tinggi antara yang terjejas dan ia dikesan mengalami kemerosotan yang mendadak.

"Paras semasa muka sauk bagi LRA Lok Heng setakat petang semalam (13 Ogos) menunjukkan kemerosotan mendadak sehingga paras amaran 0.93 meter berbanding pada paras normal 2.75 meter.

"Sungai Sedili Kecil yang merupakan sumber bekalan air mentah bagi loji berkenaan mula mengalami kemerosotan sejak dua minggu lepas dan keadaan ini berterusan sehingga semalam," terangnya.

Encik Puah mengatakan Syarikat Ranhill SAJ Sdn Bhd (Ranhill SAJ) mengemukakan cadangan bekalan air berjadual bagi kawasan yang terlibat kerana loji sudah tidak boleh beroperasi secara biasa.

"Permohonan untuk melaksanakan bekalan air berjadual telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk kelulusan. Namun, ia bergantung kepada paras air mentah yang mencukupi untuk loji terus beroperasi,” jelas beliau.

Menurut Encik Puah lagi, LRA Lok Heng menyalurkan bekalan air terawat kepada kira-kira 4,000 pemegang pengguna di kawasan Felda Bukit Waha, Felda Bukit Easter, Felda Simpang Waha, Felda Lok Heng Barat, Felda Lok Heng Timur, Felda Lok Heng Selatan dan Bukit Tentera.

Sementara itu, Encih Puah berkata paras Empangan Lebam di Kota Tinggi turut berada di bawah paras kritikal. Sekalipun demikian, loji rawatan airnya masih mampu beroperasi secara biasa.

"Cuaca kering yang sedang berlaku pada masa ini juga menyebabkan paras air di muka sauk sepanjang Sungai Muar menghampiri paras amaran di mana muka sauk ke loji Bukit Serampang mengalami kemerosotan paling ketara.

"Keadaan yang sama juga berlaku di beberapa sungai di Segamat dan Empangan Gunung Pulai dekat Pontian yang menjadi sumber air minum untuk sebahagian penduduk Johor Bahru dan Pontian," katanya.

Encik Puah berkata kerajaan negeri bersama Ranhill SAJ dengan kerjasama pihak agensi berkaitan akan sentiasa memantau keadaan tersebut dan sebarang maklumat terkini akan disampaikan kepada orang ramai.

Sementara itu, Encik Puah menasihati orang ramai supaya mengambil pendekatan tidak membazirkan penggunaan air bagi menjamin bekalan air terawat dapat disalurkan secara berterusan tanpa gangguan. 

- BERNAMA/FZ/fz

Top