Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Linkedua: Kadar tol kereta kini RM4; levi dikurangkan dari RM100-200 ke RM50 saja

Levi kenderaan komersil di Link Kedua dikurangkan kepada RM50 (S$17) bagi kedua-dua laluan keluar dan masuk Malaysia mulai 13 Februari berbanding kadar antara RM100 (S$34) hingga RM200 (S$67) ketika ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 09 Feb 2018 08:32PM Dikemas Kini : 09 Feb 2018 10:37PM

KUALA LUMPUR: Levi kenderaan komersil di Link Kedua dikurangkan kepada RM50 (S$17) bagi kedua-dua laluan keluar dan masuk Malaysia mulai 13 Februari berbanding kadar antara RM100 (S$34) hingga RM200 (S$67) ketika ini.

Selain itu, caj tol di luar waktu sibuk bagi Link Kedua iaitu antara 10.00 pagi hingga 3.00 petang dan jam 11.00 malam hingga 5.00 pagi untuk semua kenderaan kecuali motosikal juga dikurangkan antara 47 peratus hingga 82 peratus mengikut kelas kenderaan,” demikian menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini (9 Feb).

Kenyataan itu menjelaskan bahawa pengurangan levi dan tol di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Link Kedua) adalah bagi menggalakkan kenderaan menggunakan laluan itu berbanding Tambak Johor yang berhadapan dengan isu kesesakan.

Keputusan kerajaan Malaysia itu membabitkan levi kepada kenderaan komersil yang keluar dan masuk ke Malaysia dan kadar tol di luar waktu sibuk bagi semua jenis kenderaan kecuali motosikal.

Menurut kenyataan itu, kadar baru selepas pengurangan berkenaan adalah seperti berikut:

- kenderaan persendirian, RM4 (S$1) daripada RM7.50 (S$2.50)

- teksi (RM3 (S$1) daripada RM5.70 (S$2)

- bas (RM4.50 (S$1.50) daripada RM9.10 (S$3)

- kenderaan komersil kelas 2 daripada RM17.10 (S$6) kepada RM4.50 (S$1.50)

- kenderaan komersil kelas 3 dari RM34.30 (S$11.50) kepada RM6.10 (S$2)

Kadar bagi kenderaan komersil itu sama seperti kadar di Tambak Johor.

Isu kesesakan yang berlaku di Tambak Johor dibincangkan sewaktu retreat pemimpin tahunan Malaysia-Singapura baru-baru ini dan langkah pengurangan kadar levi dan tol berkenaan merupakan beberapa langkah komprehensif bagi mengatasi masalah itu.

Langkah pengurangan levi dan tol itu dijangka dapat mengurangkan kenderaan komersil di Tambak Johor sebanyak 40 peratus.

SISTEM TRANSID RAPID TURUT ATASI MASALAH KESESAKAN

Menurut kenyataan itu lagi, langkah lain yang sedang diambil kerajaan Malaysia untuk mengatasi masalah kesesakan yang berlaku di Tambak Johor adalah dengan pembinaan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura.

"Projek ini akan menghubungi stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands North, Singapura. Perkhidmatan ini dijangka dapat beroperasi pada 2024 dan membawa 10,000 penumpang dari satu arah dalam masa satu jam. RTS dijangka mengurangkan masa perjalanan antara kedua-dua negara kepada 30 minit berbanding lebih sejam pada masa ini.

"Kerajaan Malaysia dan (pemerintah)Singapura telah pun menyerahkan surat tawaran kepada syarikat yang akan membina dan mengendalikan perkhidmatan RTS," katanya.

Bagi mengurangkan kesesakan juga, beliau berkata bahawa Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) juga akan meningkatkan kekerapan perkhidmatan ulang alik Shuttle Tebrau daripada 26 perjalanan kepada 31 perjalanan setiap hari.

"Ini membolehkan KTMB membawa 1,500 penumpang tambahan menyeberangi Tambak Johor yang ketika ini berjumlah 7,783 sehari. Perkhidmatan ini memberi pilihan kepada penumpang yang dapat menjimatkan masa hanya lima minit perjalanan berbanding antara 45 minit hingga dua jam jika menggunakan bas. Ia  adalah langkah jangka pendek sebelum laluan RTS sepanjang empat kilometer siap sepenuhnya," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, langkah berkenaan dijangka dapat memanfaatkan pengguna harian yang tidak perlu lagi keluar lebih awal dari rumah pada setiap hari bagi mengelakkan kesesakan.

"Tambahan lagi, ia akan meningkatkan industri pelancongan negara dengan bilangan pelancong dijangka meningkat dengan pengurangan kesesakan di Tambak Johor,” menurutnya.

PASUKAN PETUGAS PERINGKAT TERTINGGI DITUBUHKAN BINCANG LANGKAH JANGKA PANJANG

Sementara itu, bagi menambah baik pengurusan trafik di Tambak Johor, kerajaan Malaysia menubuhkan Pasukan Petugas Peringkat Tertinggi yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi mengenal pasti dan membincangkan langkah jangka panjang termasuk hanya mengadakan satu pusat pemeriksaan antara Malaysia dengan Singapura.

"Usaha kita untuk meningkatkan lagi sistem perhubungan dan urusan imigresen antara kedua-dua negara adalah manifestasi kesungguhan kedua-dua kerajaan untuk menjalin hubungan dan kerjasama yang akan membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara," katanya. 

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan