Images
  • norway bow attack
    Seorang lelaki bersenjatakan busur dan anak panah membunuh lima orang dan mencederakan dua yang lain dalam kejadian di Kongsberg, tenggara Norway, pada 13 Okt 2021. (Gambar: Terje Pedersen/ NTB/AFP)

Lima maut dipanah di Norway, lelaki ditangkap

KONGSBERG: Seorang lelaki bersenjatakan busur dan anak panah membunuh lima orang dan mencederakan dua yang lain dalam kejadian di Kongsberg, tenggara Norway, kata polis pada Rabu (13 Okt) sambil menambah bahawa suspek sudah ditangkap.

Motif serangan yang berlaku di beberapa tempat di bandar itu masih belum dipastikan, namun polis tidak menolak kemungkinan ia tindakan pengganasan.

Ketua Polis Kongsberg, Oyvind Aas memaklumkan, dua yang cedera dirawat dalam unit jagaan rapi namun keadaan mereka dilaporkan tidak dalam bahaya.

"Suspek telah ditahan dan daripada maklumat yang kami terima, dia melakukan serangan ini secara bersendirian," katanya.

Salah seorang yang cedera adalah anggota polis yang tidak bertugas dan berada di dalam kedai di mana serangan berlaku.

Siasatan awal mendapati suspek berjalan di bandar berkenaan dan memanah orang ramai secara rambang menggunakan busar dan anak panah.

Laman stesen penyiaran awam NRK menerbitkan gambar dikongsi saksi menunjukkan anak panah yang terpacak di dinding bangunan berpanel kayu. Berikutan serangan itu, lembaga pengarah polis telah mengarahkan semua  pegawai membawa senjata api. Pegawai polis Norway, lazimnya tidak membawa senjata api tetapi boleh membawa pistol dan senapang, apabila diperlukan.

Serangan itu adalah yang terburuk terjadi di Norway sejak 2011, apabila pelampau sayap kanan Anders Breivik membunuh 77 orang, kebanyakannya remaja, dalam sebuah serangan di perkhemahan belia. 

- AFP/FZ/fz

Top