Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lim Guan Eng, isteri mengaku tidak bersalah atas tuduhan terima rasuah

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini (11 Ogos) atas tuduhan menerima rasuah.

Anggaran Waktu Membaca:
Lim Guan Eng, isteri mengaku tidak bersalah atas tuduhan terima rasuah

(Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 11 Aug 2020 11:56AM Dikemas Kini : 11 Aug 2020 12:03PM

BUTTERWORTH: Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini (11 Ogos) atas tuduhan menerima rasuah.

Lim, 60, dan Phang, 48, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Lim didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), menggunakan kedudukan untuk menerima rasuah, iaitu wang berjumlah RM372,009 (S$121,600) bagi isterinya Betty Chew Gek Cheng melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Lim didakwa melakukan kesalahan itu dengan cara mengambil tindakan memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn Bhd ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah dan Sebahagian Lot 282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang bernilai RM11,610,000 (S$3.7 juta) yang Chew secara tidak langsung mempunyai kepentingan.

Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kesalahan tersebut antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016, di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, di George Town, Pulau Pinang.

Phang pula didakwa bersubahat dalam pelakuan kesalahan oleh Lim dalam melakukan perbuatan itu di tempat dan tarikh sama dan boleh dihukum di bawah seksyen dan hukuman sama.

Chew, 56, pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah RM372,009 (S$121,633) daripada sebuah syarikat ke akaun bank miliknya.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, wanita itu didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, dengan menerima wang masing-masing berjumlah RM87,009 (S$28,448); RM180,000 (S$58,853) dan RM105,000 (S$34,331) yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun Public Bank Berhad miliknya.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu pada tarikh berbeza antara 7 Okt 2013 dan 4 Ogos 2014, 3 Sep 2014 dan 11 Ogos 2015 serta pada  4 Sep 2015 dan 3 Mac 2016 di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melaka Raya, Melaka.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan