Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lim Guan Eng beri jaminan kerajaan tidak akan tutup Malaysia Airlines

Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini (13 Mac) memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan menutup Malaysia Airlines Bhd (MAB).

Anggaran Waktu Membaca:
Lim Guan Eng beri jaminan kerajaan tidak akan tutup Malaysia Airlines

Gambar fail logo Malaysia Airlines. (Gambar: Greg Wood/AFP)

Diterbitkan : 13 Mar 2019 10:23PM Dikemas Kini : 13 Mar 2019 10:27PM

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini (13 Mac) memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan menutup Malaysia Airlines Bhd (MAB).

Sambil menyifatkan kenyataan Dr Mahathir Mohamad mengenai isu itu sudah disalahtafsirkan, beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak akan menutup Malaysia Airlines dan syor berkenaan sebaliknya hanya sekadar pilihan yang dikemukakan kepada Perdana Menteri.

"Dr Mahathir hanya sekadar menyebut beberapa pilihan mengenai Malaysia Airlines yang dikemukakan (kepada beliau). Beliau bukannya menyebut untuk menutup Malaysia Airlines,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Dana Pembiayaan Pembangunan Mapan Bank Pembangunan Malaysia Bhd, hari ini.

Sehubungan itu, Encik Lim berharap penjelasan itu dapat memberi jaminan kepada para pekerja syarikat penerbangan negara itu mengenai masa depan mereka.

Pada Selasa, Perdana Menteri dipetik sebagai berkata kerajaan akan mengkaji pelbagai pilihan sebelum membuat keputusan mengenai masa depan MAB.

"Saya rasa ia merupakan keputusan yang amat serius untuk menutup syarikat penerbangan negara itu. Kita akan mengkaji situasi itu sama ada akan menutup, menjual atau membiayainya semula. Ini semua pilihan dan terserah kepada kerajaan untuk putuskannya,” kata Dr Mahathir.

MAB yang diswastakan di bawah Khazanah National Bhd (Khazanah), mengalami kerugian lebih rendah pada tahun lepas disebabkan beberapa faktor termasuk kekurangan anak kapal pada separuh kedua 2018.

Khazanah yang juga syarikat pelaburan strategik kerajaan, sudah menyuntik dana sebanyak RM6 bilion (S$2 bilion) ke dalam MAB bagi membantu syarikat penerbangan itu kembali meraih keuntungan selepas terjejas akibat faktor termasuk penyusutan nilai ringgit dan kenaikan harga bahan api pesawat.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan